BOMBA membantu mengangkat wanita yang masih berpantang bersama bayinya susulan banjir kilat di Kampung Air Kuning. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mengangkat wanita yang masih berpantang bersama bayinya susulan banjir kilat di Kampung Air Kuning. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Seorang ibu yang masih dalam keadaan berpantang bersama bayi yang baru dilahirkannya antara 25 individu dari empat keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat yang melanda Kampung Air Kuning, di sini, malam ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya berkata, panggilan kecemasan diterima 7.38 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diarahkan untuk operasi pemindahan dan menyelamat.

Katanya, ketika operasi, anggota bomba mengangkat ibu yang masih dalam keadaan berpantang itu menggunakan kerusi roda sambil mendukung bayinya untuk meredah banjir.

"Mangsa lain datang sendiri ke PPS yang dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Air Kuning, dengan pemantauan masih dijalankan.

"Bagaimanapun air yang naik dengan kedalaman sehingga 0.3 meter sudah mulai surut," katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya turut menerima laporan banjir di Kampung Changkat Baru, Matang, di sini, dan mangsa yang terjejas turut dipindahkan ke PPS malam ini, dengan operasi menyelamat masih dijalankan.

Kelmarin, media melaporkan 48 individu daripada 10 keluarga di Batu 7 Kampung Changkat Baru, dekat Matang, di sini, dipindahkan ke PPS di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al-Baraqah susulan banjir akibat kenaikan paras air sungai berdekatan.

Bagaimanapun PPS berkenaan ditutup sepenuhnya 1.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 10:39 PM