ANGGOTA bomba memadamkan kereta yang terbakar, semalam.
ANGGOTA bomba memadamkan kereta yang terbakar, semalam.
myMetro

Melaka: Dua pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan melecur pada tangan mereka apabila kenderaan Perodua Rusa yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Seri Duyung, Bukit Katil, di sini, semalam.

Kejadian pada jam 9.15 pagi itu berlaku dua minit selepas kedua-dua pekerja memulakan perjalanan ke Merlimau, Jasin bagi melakukan kerja memotong rumput selepas berhenti mengisi petrol di stesen minyak.

Penyelia syarikat penyelenggaraan jalan itu, Aswandi Johari, 23, berkata, setiap hari pekerja terbabit singgah di stesen minyak itu untuk membeli petrol bagi kegunaan mesin rumput yang diisi dalam dua botol 10 liter.

“Perodua Rusa itu terbakar selepas dipandu 20 meter dari stesen minyak. Kedua-dua pekerja terbabit dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan kerana melecur pada tangan, semalam.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil Shahruddin Abd Razak berkata, mereka menerima panggilan jam 9.20 pagi dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, berlaku kebakaran membabitkan Perodua Rusa dengan seorang pegawai dan enam anggota terbabit dalam operasi berjaya memadamkan api, namun kenderaan itu musnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 10:17 AM