Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar pada sidang media selepas melakukan pemantauan harga di Pasar MBMB Bachang, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar pada sidang media selepas melakukan pemantauan harga di Pasar MBMB Bachang, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri bakal mengheret tiga syarikat pengangkutan di negeri ini ke mahkamah selepas dipercayai cuba menaikkan caj perkhidmatan mereka sejak dua minggu lalu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, percubaan tidak munasabah daripada syarikat terbabit dikesan menerusi Ops Kesan 2.0 yang dimulakan sejak awal bulan ini yang turut memeriksa 41 syarikat pengangkutan lain yang memegang kad fleet.

Beliau berkata, tindakan itu sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang berjaya menghasilkan kes elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Pada pemeriksaan di sekitar Melaka Tengah, penguat kuasa mengesan tiga syarikat pengangkutan yang dipercayai menaikkan harga. Pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga syarikat itu adalah pemegang kad fleet.

"Ketiga-tiga syarikat itu diberi tempoh enam hari untuk memberi surat tunjuk sebab sebelum mereka meminta tambahan lima hari. Namun, tiada sebarang maklum balas diterima KPDN selepas tempoh tamat.

"Susulan itu, KPDN negeri sedang menyiapkan kertas siasatan untuk pendakwaan di mahkamah," katanya selepas melakukan pemeriksaan keberadaan barangan keperluan asas sempena Aidiladha di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, sejak pelaksanaan Ops Kesan 2.0, KPDN Melaka sudah menjalankan 41 pemeriksaan ke atas penerima manfaat Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dengan lebih intensif bagi mengekang perbuatan menaikkan harga sesuka hati walaupun menerima kad fleet.

"Dalam Ops Kesan 1.0 dan 2.0, setiap hari, lima pasukan penguat kuasa akan memeriksa mana-mana syarikat yang berdaftar di bawah SKDS untuk melihat sama ada berlaku kenaikan harga sebelum dan selepas menyertai sistem berkenaan.

"Jika ada kenaikan tanpa sebab munasabah, kita akan beri notis sebab kenaikan dan sekiranya tiada maklum balas, kes akan dibawa ke peringkat perundangan," katanya.

KPDN turut meminta kerjasama orang awam supaya melaporkan sebarang kenaikan harga barang tidak munasabah berasaskan skim SKDS dengan menyalurkan maklumat di talian 012-6654292.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 2:34 PM