KEADAAN pam petrol yang terbakar di stesen minyak di Jalan Batu Enam, Gemas, malam tadi. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan.
KEADAAN pam petrol yang terbakar di stesen minyak di Jalan Batu Enam, Gemas, malam tadi. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan.
Khairul Najib Asarulah Khan


PEKERJA wanita stesen minyak di Jalan Batu Enam, Gemas, melecur di kaki kiri apabila pam digunakan ketika mengisi petrol kenderaan pelanggan tiba-tiba terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian 10.06 malam itu, wanita berusia 40-an itu sedang mengisi petrol motosikal pelanggan sebelum tiba-tiba berlaku kebakaran di pam digunakannya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemas, Pegawai Bomba Kanan II Noor Hirwan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.33 malam.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan lapan anggota bersama ambulans Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba 10 minit kemudian, kami dapati api di dua pam minyak yang terbakar itu berjaya dipadamkan pekerja stesen minyak dan orang awam.

“Kami hanya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tidak berlaku percikan api lagi.

“Kejadian mengakibatkan kaki kiri seorang pekerja wanita stesen minyak itu melecur dan dia dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian dialami pengusaha stesen minyak itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 3:44 PM