THI Bich Vu keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas membayar denda. FOTO Alias Abd Rani
THI Bich Vu keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas membayar denda. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Wanita warga Vietnam didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan dan menyalahguna pas lawatan sosial.

Thi Bich Vu, 37, yang juga ibu seorang anak, berhadapan dua pertuduhan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencari langganan untuk tujuan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Maju, di sini, 10.25 malam, 4 Jun lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, dia didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Bagi kesalahan mengikut seksyen ini, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, polis menjalankan serbuan ke atas sebuah hotel dan mendapati tertuduh berada dalam sebuah bilik.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk tujuan aktiviti tidak bermoral itu.

Hasil pemeriksaan polis mendapati, tertuduh juga didapati menyalahguna pas lawatan sosial untuk tujuan sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 2:31 PM