PASUKAN bomba menghampiri kapal yang terbakar untuk memadamkan api.
PASUKAN bomba menghampiri kapal yang terbakar untuk memadamkan api.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: “Beberapa orang dipercayai pekerja kapal sempat terjun ke laut menyelamatkan diri dan pada masa sama, berlaku letupan kuat,” kata lelaki dikenali sebagai Rahmat, 30, yang melihat kebakaran membabitkan dua kapal kayu berisi petrol serta kapal awam di perairan berhampiran Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang, lima mangsa dipercayai cedera akibat melecur dan dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Difahamkan, dua kapal berisi petrol dipercayai memunggah bahan api berkenaan untuk dibawa ke negara jiran sebelum satu daripadanya terbakar lalu merebak hingga memusnahkan dua lagi kapal termasuk kapal awam.

Rahmat berkata, ketika kejadian, dia berada di luar rumah sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari laut kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Saya melihat ke arah laut dan terkejut apabila api menjulang ke udara disusuli beberapa letupan lagi. Saya segera menuju ke hujung jambatan di rumah atas air untuk melihat lebih dekat.

“Sebaik tiba, ketiga-tiga kapal dijilat api dan asap tebal melitupi kapal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia melihat beberapa orang dipercayai pekerja kapal terjun ke laut menyelamatkan diri.

“Namun, tidak tahu mereka berenang ke arah mana dan penduduk lain pula sibuk menyelamatkan diri dan harta benda masing-masing bimbang api merebak disebabkan ia berlaku hanya 200 meter dari rumah.

“Apa yang kami takutkan kapal itu membawa minyak dan risau minyak yang tumpah ke laut mengalir dan membawa api ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan Haikal Jimmy Ngali Abdullah berkata, kebakaran membabitkan dua kapal kayu dengan muatan petrol dan kapal awam yang berada 200 meter dari daratan.

“Pasukan bomba menaiki bot menghampiri kapal itu seterusnya menggunakan pam terapung untuk memadamkan kebakaran.

“Operasi terkawal pada jam 6.58 petang dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lima mangsa cedera akibat melecur dan mereka dihantar ke HDOK Sandakan untuk rawatan lanjut.

Katanya, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa, namun pihak berkuasa curiga bagaimana kapal kayu itu membawa petrol.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain ketika dihubungi berkata, pihaknya menunggu laporan siasatan dan mendapatkan dokumen serta butiran lanjut berkaitan kapal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:14 AM