Keadaan dalam kereta mangsa yang turut disambar api serta cebisan pakaian mangsa. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan dalam kereta mangsa yang turut disambar api serta cebisan pakaian mangsa. - Foto Ihsan Bomba
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tindakan pantas pekerja stesen minyak yang curiga melihat sebelah kasut di bahagian luar sebuah kereta berjaya menyelamatkan wanita yang terperangkap dalam kereta berkenaan selepas disambar api akibat penggunaan telefon bimbit ketika mengisi minyak.

Pengurus stesen minyak di Taman Setapak Indah itu, Muhd Haikal Kamarudin berkata, selepas pekerjanya membuka pintu kereta berkenaan, kepulan asap keluar dari kereta itu, manakala wanita berkenaan meronta-ronta kesakitan akibat melecur 60 peratus bahagian badannya.

Dalam kejadian tengah hari tadi, wanita berkenaan melecur di bahagian badannya apabila telefon bimbit yang sedang digunanya disambar api.

Mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan sedang mengisi minyak sambil menggunakan telefon bimbit sebelum berlaku percikan api hingga menyambar telefon bimbitnya dalam kejadian 1.25 tengah hari itu.

Wanita itu dipercayai masuk ke dalam keretanya dan menutup pintu kereta jenis Perodua Axia itu.

“Sebaik pekerja saya membuka pintu kereta, dia melihat terdapat banyak kepulan asap keluar dengan seluruh tubuh mangsa melecur bersama kulitnya melekat di belakang tempat duduk penumpang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Muhd Haikal berkata semasa pekerja membuka pintu kereta itu, api sudah padam dan pekerjanya menutup seluruh kawasan stesen minyak itu serta menghubungi pihak polis dan bomba.

"Pekerja saya menghalang orang ramai daripada mendekati kawasan kejadian.

"Mereka dilatih bertindak memberikan bantuan awal jika berlaku perkara tidak diingini sebelum bantuan tiba," katanya.

Berita berkaitan: http://www.hmetro.com.my/node/148606

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 10:21 PM