KULIT album Anatomi.
KULIT album Anatomi.
Syahid Sokri

Sungai Petani: Penyanyi Faizal Tahir tidak menyalahkan peminat jika ada yang mempersoalkan mengenai konsep kulit album terbarunya, Anatomi.

Menurutnya, sejak foto kulit album Anatomi dimuat naik di laman sosial baru-baru ini, pelbagai reaksi positif dan negatif diterimanya.

“Rekaan kulit album itu ada maksud tersendiri, namun tidak berniat mencetuskan kontroversi.

“Saya tak salahkan peminat jika mereka tidak senang dengan rekaan kulit album saya. Ini kerana mungkin mereka belum faham maksud tersirat di sebalik rekaan itu.

“Saya tiada masalah dengan setiap kritikan negatif diberikan kerana faham apa yang saya buat. Saya juga tahu ada maklum balas kurang baik mengenai rekaan itu, tetapi saya tiada masalah dengan hal itu,” katanya pada Jelajah Anatomi Faizal Tahir di pekarangan Amanjaya Mall Sungai Petani, di sini, kelmarin.

Faizal berkata, dia bersama pasukannya yang membuat rekaan kulit itu.

“Bagi saya, selagi orang tidak dapat penjelasan mengenai rekaan album itu, selagi itu mereka tertanya-tanya dan memberi pelbagai pandangan. Saya sendiri cuba menjelaskan secara terperinci maksud tersirat di sebalik rekaan album Anatomi.

“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan album ini mengalami pelbagai rencah mengenai kehidupan dan perhubungan. Antaranya mengenai hubungan manusia dengan Tuhan, isteri, anak dan kekasih. Contohnya, lagu Sayang lebih kepada hubungan dengan anak dan Setia pula dengan kekasih,” katanya.

Menurutnya, ini kali pertama dia membuat jelajah pelancaran album di Kedah dan sempat menyanyikan tiga lagu untuk peminatnya.

“Alhamdulillah, maklum balas orang Sungai Petani sangat di luar jangkaan dan ini mungkin juga disebabkan orang Kedah masih gembira selepas pasukan Kedah memenangi Piala Malaysia, baru-baru ini,” katanya.

Selepas hampir tiga tahun sunyi tanpa album, Faizal akhirnya tampil dengan album keempat berjudul Anatomi yang dipasarkan 4 November lalu.

Anatomi tampil berbeza berbanding tiga albumnya sebelum ini. Ia juga album pertama Faizal bersama Warner Music Malaysia selepas berhijrah dari Monkey Bone Records.

Anatomi menampilkan tujuh lagu termasuk single Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan Setia. Tiga lagi karya baru adalah Suriram, Menang, Bukan Yang Pertama dan single bonus iaitu Dirgahayu, Negaraku.

Album itu juga memuatkan tiga versi lagu Assalamualaikum iaitu versi Anugerah Bintang Popular BH 2014, Anugerah Juara Lagu ke-30 dan akustik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:01 AM