AKU Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur adalah konsert sulung Faizal selepas 17 tahun berkarya dalam bidang muzik.
AKU Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur adalah konsert sulung Faizal selepas 17 tahun berkarya dalam bidang muzik.

Najiy Jefri

[email protected]

AURA Faizal Tahir ketika menjayakan Konsert Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu kekal mewangi dan akan terus diingati peminatnya.

Berjaya mempamerkan persembahan mega di hadapan lebih 3,000 penonton, Faizal tidak perlu menunggu masa lama untuk menyesuaikan diri di atas pentas sewaktu menjayakan konsert sulungnya itu.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, lelaki berusia 45 tahun itu menyampaikan 21 lagu hit dipetik daripada lima album yang dihasilkannya iaitu Aku.Muzik.Kamu, Adrenalin, Faizal Tahir, Anatomi dan Rojak.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Bencinta, Karma, Hanyut, Cuba, Assalamualaikum, Sejati, Syahadah, Adam, Negaraku, Malaysia, Bisa Aja, Ratu, Ragaman, Fire & Water, Santai dan single terbaharu berjudul OK.

Pada malam itu, Faizal turut meluahkan rasa sebak apabila dua penyanyi hebat, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Alif Sattar sudi berduet bersamanya secara spontan.

Siti yang hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Jiwa dilihat begitu 'sporting' apabila tampil berduet dengan Faizal menerusi lagu Dirgahayu.

Sementara itu, Alif pula berbesar hati menyampaikan lagu Gemuruh bersama Faizal. Perkenalan mereka mula berputik sejak menyertai program realiti, One In A Million (OIAM) pada 2006.

Menariknya lagi mengenai konsert itu, taburan wang kertas dari siling Dewan Merdeka ketika Faizal asyik menyanyikan lagu OK yang membuatkan penonton bersorak dan bangun untuk cuba mengutip 'duit' itu.

Tutup cerita mengenai kejayaan konsert sulungnya, Faizal yang temui usai acara berkenaan berkongsi pelbagai rasa dan prinsip yang ingin dilakukan.

FAIZAL teruja apabila Siti dan Alif sudi berduet dengannya pada konsert berkenaan.
FAIZAL teruja apabila Siti dan Alif sudi berduet dengannya pada konsert berkenaan.

Antaranya pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Muhammad Tahir itu enggan menyanyikan lagu berunsur cinta meskipun menyedari karya itulah yang berjaya mengangkat namanya.

"Sebagai anak seni, kita semua melalui pelbagai fasa. Masa lagu Mahakarya Cinta pada 2008, saya banyak menyanyikan lagu cinta, jiwang. Tetapi, sekarang saya rasa lagu cinta tidak lagi sesuai untuk imej saya.

"Saya tak rasa isteri suka kalau saya tampil menyanyikan lagu cinta. Nanti isteri akan fikir untuk siapa lagu ini.

"Kalau dulu setiap kali keluar dengan lagu baharu saya lebih fikir soal kepuasan diri sendiri dan peminat, tetapi hari ini banyak keputusan dibuat kerana isteri dan perasaan anak-anak yang makin membesar.

"Saya mahu apa yang saya lakukan relevan kepada mereka. Saya tak nak anak-anak berfikir lagu apalah yang bapa mereka cipta ini. Saya perlu jaga hati mereka, tetapi tak boleh sentiasa ada bersama mereka," katanya.

Menurut Faizal, disebabkan itu single baharu yang diperkenalkan sejak kebelakangan ini lebih berunsur nasihat dan mesej positif.

"Kini lagu saya lebih ringan, santai dan mempunyai unsur nasihat supaya ia boleh beri contoh yang baik kepada anak-anak. Keluarga sayalah yang menjadi penentu kepada lagu yang bakal dihasilkan," katanya.

Dalam masa sama, Faizal memaklumkan prinsip yang dipegang hanyalah buat dirinya dan dia bebas untuk menghasilkan lagu berkisar apapun untuk penyanyi lain.

"Bila saya buat lagu untuk penyanyi lain, saya rasa sedikit bebas untuk berkarya dan lebih kreatif dengan cara lain. Syukur, Allah bagi saya bakat dan kelebihan untuk hasilkan lagu saya sendiri.

"Saya masih ada ruang untuk buat lagu penyanyi lain dan keluar sedikit daripada kebiasaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 6:40 AM