IKAT kerjasama dengan Red Box menerusi kempen Help For Kids.
IKAT kerjasama dengan Red Box menerusi kempen Help For Kids.
Georgie Joseph


Tindakan penyanyi Faizal Tahir, 38, menghasilkan lagu Assalamualaikum mengundang banyak persoalan.

Malah, beberapa projek terbarunya termasuk lagu Adam membuatkan peminat tertanya-tanya ke mana hala tuju muziknya sekarang.

Ketika ditemui, Faizal turut mengakui banyak mendapat soalan sama ada dia kini lebih ke arah penghasilan lagu bercorak keagamaan.

Namun, penyanyi yang meledak menerusi program realiti One in a Million musim pertama (OIAM) ini masih mengutamakan genre rock.

Menurut Faizal, sebagai penyanyi dan pemuzik, dia tidak akan mengehadkan kemampuannya untuk berkarya.

“Ramai yang bertanya mengenai hal itu apabila lagu ciptaan saya sekarang ini banyak mengenai kemanusiaan. Bagaimanapun, saya memang tiada niat untuk beralih kepada karya berkonsepkan nasyid.

“Saya masih lagi berjiwa rock & roll dan yang pasti lagu selepas ini akan tetap bergenre sedemikian. Hakikatnya, sejak dulu saya tidak pernah menetapkan had terhadap penghasilan karya saya,” katanya ketika ditemui di Malam Penghargaan Media Red Box, di ibu kota, baru-baru ini..

Faizal juga sempat berkongsi kegembiraannya mengenai album baru yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Lebih menarik, album itu disifatkannya masih penuh dengan kelainan.

“Saya sangat teruja dengan material baru yang dimuatkan dalam album berjudul Anatomi itu. Yang pasti, ia masih menekankan konsep rock & roll serasi dengan jiwa muzik saya sendiri.

“Istimewanya, lagu Assalaimualaikum turut dimuatkan dan ada tiga versi dalam album itu, manakala tujuh lagu lain ialah lagu baru,” katanya.

Hadir sebagai antara penerima anugerah 10 Lagu Top Red Box kategori bahasa Malaysia, Faizal mengakui terkejut lagu Assalamualaikum turut tersenarai. Mana tidaknya, dalam tempoh 10 tahun, dia tidak pernah menerima anugerah berkenaan.

“Lagu itu saya cipta untuk menyampaikan mesej kemanusiaan yang cukup relevan dengan situasi di seluruh dunia sekarang. Disebabkan itu, saya sangat terkejut kerana ia menjadi pilihan pengunjung di karaoke.

“Maklumlah, selalunya pengunjung karaoke sendiri kerap memilih lagu yang berentak balada contohnya lagu Coba dan Sampai Syurga.

“Ini pencapaian yang sangat membanggakan buat diri saya sendiri. Secara tidak langsung, mesej saya sebenarnya sampai kepada sesiapa juga yang menyanyikan lagu Assalamualaikum itu,” katanya.

Beramal bersama Red Box

Selain aktif dengan aktiviti membabitkan kemanusiaan, Faizal juga bekerjasama dengan Red Box dalam sebuah kempen amal.

Kempen dinamakan Help For Kids itu bakal memfokuskan kepada kanak-kanak.

Dalam kempen itu, sebanyak RM10 akan didermakan kepada dana terbabit melalui penjualan beg amal yang dijual dengan harga RM25 di semua rangkaian Red Box dan Green Box.

“Idea berkenaan sudah lama saya fikirkan sebenarnya apatah lagi dengan kewujudan Iamfaithmen Movement yang saya mulakan. Apabila pihak Red Box tampil menawarkan mengenai kempen itu, saya tidak berfikir dua kali untuk setuju.

“Kempen itu akan berlangsung sehingga Ramadan nanti di mana jumlah kutipan dana berkenaan bakal digunakan untuk membantu memperbaiki kehidupan harian kanak-kanak tidak bernasib baik.

“Saya tidak mahu buat perkara yang sudah biasa seperti meraikan mereka pada Ramadan. Saya mahu mereka boleh hidup berdikari dengan pendidikan dan jaga diri sendiri untuk masa depan mereka, kami masih fikir lagi beberapa rancangan yang terbaik,” katanya.

Selain Assalamualaikum, sembilan lagu Melayu popular yang tersenarai ialah Hanya Namamu nyanyian kumpulan Caliph Buskers, Terima Kasih Cinta (Tasha Manshahar), Hantu Atau Buaya (Nanasheme), Biarkanlah (Drama Band), Sakitnya Tuh Di Sini (Cita Citata), Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Mewangi (Akim & The Majistret) dan Relakan Jiwa (Hazama).

Selain itu, 10 lagu Inggeris ialah Flashlight (Jessie J), Marvin Gaye (Charlie Puth ft. Meghan Trainor), Hello (Adele), Love Me Like You Do (Ellie Goulding), See You Again (Wiz Khalifa ft. Charlie Puth), Drag Me Down (one Direction), Photograph (Ed Sheeran), Sugar (Maroon 5), Like I’m Gonna Lose You (Meghan Trainor ft. John Legend) dan Uptown Funk (Mark Ronson ft. Bruno Mars).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 10:43 AM