TERUJA bergandingan dengan Siti Nurhaliza.
TERUJA bergandingan dengan Siti Nurhaliza.

Kembali sibuk dengan aktiviti seni, penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir bakal tampil dengan projek khas bersama kumpulan yang dianggotai Aizat Amdan, Noh Salleh dan Muadz Zulkifli menerusi lagu khas untuk Syria iaitu All Our Love.

Idea itu timbul selepas dia dan rakan menziarah negara itu tahun lalu.

“Ini adalah sumbangan saya sebagai artis dalam membantu mereka yang tidak bernasib baik. Dengan terhasilnya lagu ini saya berharap dapatlah kami meneruskan hasrat membantu rakyat Syria,” katanya.

Faizal berkata, dia turut menubuhkan iAMFAITHMEN Movement dan badan amal ini menjadi orang tengah dalam membantu menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya melancarkan pertubuhan ini secara kebetulan ketika membuat persembahan lagu Assalamualaikum pada malam Anugerah Juara Lagu awal tahun ini.

“Sebagai penaung saya mahu orang tahu apa peranan iAMFAITHMEN Movement. Kami mengumpul dana untuk disalurkan kepada anak yatim dan orang tua. Diharap lebih banyak pihak sudi bekerjasama dengan kami pada masa akan datang.

“Begitu juga dengan Red Box, kami tidak menyangka mereka sudi bekerjasama. Buat pertama kalinya kami menjalin usaha sama menerusi kempen Help For Kids anjuran Red Box dan Green Box.

“Hasil kempen yang dijalankan sejak Ramadan lalu, Red Box berjaya mengutip dana RM20,000. Terima kasih atas sumbangan dan kami akan serahkan kepada yang memerlukan,” katanya.

Selain single untuk Syria, bapa kepada enam cahaya mata itu juga tidak sabar menghadiahkan peminat album terbaru.

Album yang diberi nama Anatomi Faizal Tahir itu masih mengekalkan genre rock dan memuatkan 10 lagu termasuk empat versi berbeza lagu hitnya, Assalamualaikum.

“Album ini sudah siap sepenuhnya dan hanya tunggu masa untuk dilancarkan. Insya-Allah jika tiada aral, ia akan dilancarkan pada September ini.

“Tidak hanya itu, saya bakal berkolaborasi dengan Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Dirgahayu yang saya cipta bersama Mike Chan dan Ezra Kong. Ia kejutan dan hadiah buat peminat yang ingin melihat kami berkolaborasi.

“Sebenarnya saya sendiri teruja kerana sudah lama teringin berduet dengan Siti.

“Ramai juga peminat yang bertanya dan syukur ia dapat direalisasikan. Jika semua berjalan lancar, lagu ini akan dilancarkan Ogos ini,” katanya. - Syanty Octavia Amry

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 5:00 AM