CHE Som menunjukkan perangkap tudung saji yang digunakannya.
CHE Som menunjukkan perangkap tudung saji yang digunakannya.
ANTARA burung tekukur yang dipelihara Che Som.
ANTARA burung tekukur yang dipelihara Che Som.
Hassan Omar


Alor Gajah: Dengan hanya menggunakan perangkap tudung saji, Che Som Jalil, 49, yang juga peminat burung tekukur memerangkap unggas itu yang berkeliaran di sekitar rumahnya bagi menambah koleksi unggas peliharaannya.

Peralatan digunakan Che Som, untuk memerangkap unggas itu adalah tudung saji, botol air mineral kosong, tali dan dedak ditinggalkan di hadapan rumahnya sementara menunggu terkukur liar turun ke tanah untuk makan.

Selepas menyiapkan perangkap ringkas itu Che Som, bersembunyi di sebalik tingkap di dalam rumah untuk memerhatikan terkukur liar dan jika ada memasuki perangkap dia akan menarik tali diikat pada botol sebagai penyendal tudung saji dan memerangkap unggas itu.

“Saya menabur dedak dalam tudung saji yang dibiarkan terbuka dan disendal menggunakan botol air mineral kosong, kemudian tunggu tekukur liar masuk perangkap.

“Unggas itu akan berlawan suara dengan dua ekor tekukur milik saya, apabila sudah kepenatan ia akan turun dan makan dedak. Ketika itulah saya menarik tali diikat pada botol,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Solok Jauh, Pangkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Menurutnya, apabila terkukur liar terperangkap dalam tudung saji, dia menyerkup tudung saji menggunakan kelambu terpakai sebelum menyeluk untuk menangkap unggas itu.

Ibu kepada lima anak berusia antara 10 hingga 29 tahun itu memberitahu minatnya terhadap tekukur bermula selepas membeli sepasang unggas itu daripada rakan pada harga RM40 lima bulan lalu.

Katanya, dia tertarik dengan suara unggas itu selepas tekukur miliknya yang galak berbunyi hingga secara tidak langsung mencabar tekukur liar hinggap pada dahan pokok berhampiran kediamannya.

Che Som, amat teruja mendengar suara beberapa tekukur datang beradu suara dengan burung peliharaannya, mengambil keputusan mencuba memerangkap tekukur liar menggunakan perangkap ringkas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:46 AM