RITA bersama anaknya membuat kuih pulut panggang di kediamannya  di Datuk Keramat, semalam.
RITA bersama anaknya membuat kuih pulut panggang di kediamannya di Datuk Keramat, semalam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga semakin baik selepas berpindah ke rumah sewa bantuan daripada Baitulmal 14 September lalu.

“Kini, anak boleh tidur dengan selesa dan tidak perlu lagi berhimpit dalam bilik sewa kecil sebelum ini,” demikian luahan Rita Nasri, 38.

Rita adalah peniaga kuih pulut panggang di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa yang dibantu anaknya Muhammad Irham, 10, dan kisah dua beranak itu pernah disiarkan Harian Metro pada 17 Ogos lalu yang menarik perhatian ramai.

Keenakan pulut panggangnya sering menjadi bualan mulut pelanggan, bahkan ramai yang mengulangi semula pembelian kuih itu.

Ibu kepada empat anak itu mengakui, sejak daripada itu jualan kuihnya semakin laris sehingga tidak menang tangan menerima tempahan ramai pelanggan.

“Kadang-kadang saya terpaksa menolak permintaan pelanggan kerana kekangan tenaga dan saya membuat kuih hanya dibantu anak yang masih kecil.

“Tempahan paling banyak yang boleh saya terima hanya 200 keping sehari disebabkan proses membuatnya agak rumit selain mahu menjaga kualitinya,” katanya di rumahnya di Datuk Keramat, di sini, semalam.

Katanya, hasil jualan itu juga membolehkan anaknya kembali semula ke sekolah sejak sebulan lalu selepas berhenti beberapa bulan kerana masalah kewangan dialaminya.

“Anak sulung, Muhammad Firdaus Mohd Fadzil, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak. Manakala, tiga yang lain iaitu Muhammad Bukhari, 12, Muhammad Iman Shah, 11, dan Muhammad Irham, 10, di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat.

“Susah macam mana sekalipun saya tetap akan berusaha memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna supaya mereka memiliki masa hadapan yang lebih baik,” katanya.

Berkongsi kisah sedih hidupnya, Rita berkata, dia pernah merempat selama dua bulan bersama anaknya kerana tiada rumah atau bilik untuk berteduh.

“Dalam tempoh itu saya menumpang rumah abang tetapi pada waktu siang keluar dan pulang ke rumah kerana sibuk mencari bilik sewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:52 AM