ROSFAZILA bersama  Dzikri Irham  yang terlantar akibat sawan sejak Mac lalu.
ROSFAZILA bersama Dzikri Irham yang terlantar akibat sawan sejak Mac lalu.
Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Demi melihat zuriat yang dikasihi sembuh seperti sedia kala, sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan lima jam dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Shah Alam, Selangor setiap bulan.

Anak pasangan itu, Dzikri Irham Zaimi, 13, perlu menjalani rawatan terapi membetulkan saraf yang rosak di Spa Terapi Al Fateh di Shah Alam.

Rosfazila Moh Yusof, 36, menetap di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu berkata, dia dan suaminya Zaimi Yusof, 46, berulang menaiki kereta sejak sembilan bulan lalu bagi membawa anak kedua mereka itu mendapatkan rawatan.

“Anak kami sudah mendapatkan rawatan sewajarnya di hospital, malah setiap bulan pasukan perubatan datang ke rumah membuat pemeriksaan susulan.

“Namun, kami mengambil ikhtiar berubat secara alternatif iaitu terapi urut saraf seperti disaran doktor agar membantu pemulihan anak dengan lebih cepat,” katanya.

Menurut Rosfazila, anak keduanya itu memang mempunyai masalah pembelajaran sebelum ini, namun tidak mempunyai masalah kesihatan dan aktif sama seperti remaja lain.

Katanya, tahap kesihatan Dzikri Irham merosot secara mendadak selepas diserang sawan pada Mac lalu.

Berikutan masalah saraf Dzikri Irham kini lumpuh dan terlantar di rumah serta bergantung kepada susu khas untuk mendapatkan tenaga.

“Syukur selepas mendapatkan rawatan secara alternatif Dzikri Irham, menunjukkan perkembangan positif.

“Jika sebelum ini kami beri dia minum susu menggunakan tiub dimasukkan ke dalam hidung, sekarang dia sudah boleh jamah bubur.

“Memang menjadi harapan kami untuk memberikan yang terbaik kepada Dzikri Irham, tapi kekangan kos membataskan perancangan itu,” katanya.

Dia memberitahu Dzikri Irham, menerima bantuan Yayasan Diraja Sultan Mizan RM300 sebulan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membiayai kos pembelian susu khas remaja itu.

Berikutan kekangan kewangan Rosfazila berkata, mereka mampu membawa Dzikri Irham, mendapatkan rawatan di Shah Alam sekali saja sebulan.

“Kos keseluruhan untuk setiap kali mendapatkan rawatan sudah RM800. Jujurnya dengan pendapatan suami sebagai peniaga kuih dan sandwic kami tidak mampu dan hanya bergantung kepada sumbangan pihak yang prihatin,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional di nombor 11100 41 00011540 1 atas nama Rosfazila Moh Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:46 AM