RITA bersama anak-anak.
RITA bersama anak-anak.
Sudirman Mohd Tahir


ANAK sulung pelakon popular, Rita Rudaini iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10, trauma selepas menjadi mangsa buli rakan sekelasnya di sekolah.

Rita berkata, tindakan berulang kali kanak-kanak itu membuatkan anaknya takut untuk ke sekolah selain meminta untuk ditukar sekolah.

“Saya difahamkan bukan Rayyan seorang saja, tapi ada rakannya yang lain turut menjadi mangsa. Bagaimanapun, mereka melawan. Berbeza dengan Rayyan yang hanya diam dan tidak melawan. Mungkin kerana dia ingat pesan saya.

“Bagaimanapun, apabila Rayyan diam kanak-kanak itu ambil kesempatan pula. Bagi saya, tindakan melondehkan seluar Rayyan di kawasan terbuka adalah satu pembulian dan ia sangat kurang ajar.

“Ditambah pula ketika itu waktu rehat dan ramai murid lain. Memang semua nampak menyebabkan Rayyan malu dan menangis,” katanya.

Rita berkata, dia sudah membuat aduan kepada pengetua sekolah dan masih menunggu tindakan selanjutnya.

“Saya geram ibu bapa murid itu buat tak tahu saja. Selepas saya muat naik di Instagram semalam, baru mereka menghantar mesej kepada saya. Saya cakap selesaikan dengan pihak sekolah.

“Mereka tak tahu kesan perbuatan anak mereka terhadap anak saya. Rayyan menjadi trauma, tak nak ke sekolah malah siap minta tukar sekolah.

“Saya cakap, ini bukan salah sekolah. Tapi atas didikan ibu bapa di rumah. Saya tak mahu ada mangsa lain yang akan kena lebih teruk lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 12:35 PM