RITA Rudaini bersama anaknya, Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan Airit Qaqa Arjuna (kiri). FOTO: NSTP
RITA Rudaini bersama anaknya, Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan Airit Qaqa Arjuna (kiri). FOTO: NSTP
Sudirman Mohd Tahir


KEDUA ibu bapa kanak-kanak yang membuli anak sulung pelakon, Rita Rudaini iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10, bersedia bersemuka dengan pelakon itu bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Rita berkata, perkara itu dimaklumkan guru kelas anaknya selain bapa kanak-kanak itu mengakui kesalahan dilakukan anaknya.

"Sebelum ini saya tunggu juga maklum balas daripada kedua ibu bapa kanak-kanak itu tetapi tak ada. Selepas keluar di media dan muka depan surat khabar hari ini, tahu pula nak beri maklum balas.

"Saya dimaklumkan guru kelas Rayyan, bapa kanak-kanak itu menghubungi cikgu dan sedia bersemuka dengan saya. Dia juga mengakui kesalahan dibuat anaknya terhadap Rayyan.

"Bagi saya, memang kena bersemuka. Tak boleh selesaikan dengan cara mesej atau bercakap dalam telefon. Apatah lagi ini kes buli hingga londehkan seluar anak saya yang saya anggap bukan perkara main-main," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, pada perjumpaan itu nanti akan ada semua pihak iaitu Rayyan, ibu bapa, kanak-kanak itu dan pengetua.

"Kalau perkara ini diselesaikan sebelum cuti sekolah, boleh panggil saksi kanak-kanak lain. Bagaimanapun, disebabkan sekolah sudah mula bercuti, jadi tak nak menyusahkan orang lain.

"Dalam pertemuan itu nanti saya nak berikan syarat. Saya juga nak cakap, kalau perkara ini berulang lagi, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya.

Menurut Rita, dia tidak membuat sebarang laporan polis berhubung insiden yang menimpa anaknya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Rayyan trauma selepas menjadi mangsa buli rakan sekelasnya di sekolah.

Tindakan berulang kali kanak-kanak itu membuatkan Rayyan takut untuk ke sekolah selain meminta untuk ditukar sekolah.

Berita berkaitan

seluar anak rita dilondeh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:16 PM