Redzuan Muharam


Puchong: Selepas berpisah dengan bekas isteri kira-kira lima bulan lalu, kehidupan Muhammad Nizam Kamaroszaman seperti hilang arah apabila pernah menumpang tidur di masjid bersama anak-anaknya akibat hilang tempat berteduh.

Bagaimanapun, Muhammad Nizam, 33, enggan mengenangkan nasibnya kerana menyedari mempunyai tanggungjawab untuk menyara dan membesarkan tiga anak perempuan berusia tiga, enam dan tujuh tahun.

Terbaru, kisah empat beranak itu mendapat perhatian selepas seorang pengguna TikTok memuat naik video mereka berehat berhampiran sebuah stesen minyak.

Menerusi video itu, Muhammad Nizam dilihat berdiri, manakala dua anaknya berada di atas motosikal dan seorang lagi anaknya duduk di atas rumput sebelum seorang wanita datang menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Perkongsian itu meruntun hati netizen yang rata-ratanya kagum melihat kesungguhan dan pengorbanan Muhammad Nizam mencari rezeki buat anaknya.

Bercerita lanjut, Muhammad Nizam yang menetap di Putra Perdana, di sini, berkata buat masa ini, dia bekerja sepenuh masa sebagai penghantar barang.

Menurutnya, pendapatan diterimanya tidak menentu dan demi menyara anak serta membayar sewa rumah, Muhammad Nizam turut berikhtiar dengan mencari tin kosong untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Katanya, dia terpaksa membawa anaknya mencari rezeki bersama kerana tiada siapa boleh menjaga mereka selain tidak mampu mengupah pengasuh.

"Selepas berpisah, saya yang jaga anak dan mulanya tidur merempat kerana tiada rumah sebelum dapat bilik sewa. Namun, kami dihalau kerana ada aduan anak buat bising dalam bilik ketika saya keluar bekerja.

"Kini, kami menyewa sebuah rumah flat dan pada hari sekolah, saya akan bawa anak yang kecil saja keluar bekerja. Pada sebelah petang atau hujung minggu, saya akan bawa ketiga-tiga anak keluar hantar barang pelanggan atau cari tin kosong," katanya.

Muhammad Nizam mengakui pernah patah semangat dan hampir putus asa untuk meneruskan hidup, namun mendapat kekuatan selepas melihat wajah anaknya.

"Sejak mula jadi duda dan bapa tunggal lagi saya sudah patah semangat sebenarnya, malah setiap malam memikirkan kehidupan saya juga anak.

"Mana nak fikirkan tanggungjawab, juga anak makan atau tidak. Sekarang anak saja keutamaan saya kerana kita menangis pun bukan orang tahu, susah dan senang tanggung sendiri.

"Mujur anak faham terutama yang sulung kerana ada ketika, dia tengok dompet saya waktu tidur dan pernah satu ketika tinggal RM2 saja.

"Dia terus kejut saya dan ajak kerja. Sebak rasanya kerana walaupun masih kecil tetapi dia faham erti kesusahan," katanya yang kini buntu memikirkan sewa bulanan rumahnya yang sudah dua bulan tertunggak.

Berhubung videonya yang tular, Muhammad Nizam tidak menyangka akan mendapat perhatian.

"Saya tak tahu video saya dan anak dirakam, malu juga sebenarnya tetapi sejak video saya tular, ramai yang bantu kami. Hanya Allah sahaja mampu membalas budi baik semua yang membantu di dunia mahupun akhirat.

"Setiap orang yang beri sumbangan, saya terima kerana anggap itu rezeki buat anak," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 164445064464 atas nama Muhammad Nizam Kamaroszaman atau menghubunginya di talian 017-426 3354.

MUHAMMAD Nizam Kamaroszaman keluar mencari rezeki dengan ditemani tiga anaknya. FOTO Ihsan Muhammad Nizam Kamaroszaman
MUHAMMAD Nizam Kamaroszaman keluar mencari rezeki dengan ditemani tiga anaknya. FOTO Ihsan Muhammad Nizam Kamaroszaman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 4:24 PM