Redzuan Muharam


“RASA seperti burung yang patah sayap selepas berpisah dengan suami kerana terpaksa menjual kereta dan rumah ibu demi melangsaikan hutang bagi meneruskan hidup,” kata ibu tunggal tiga anak, Suria Ahmad, 37.

Suria berkata, masalah kewangan juga menyebabkannya terpaksa menumpang di rumah adik-beradik lain sebelum menyewa bilik di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.

Dia tinggal di situ bersama ibu, Yom Che Din, 77, serta dua anaknya, Ahmad Qalif Mikael, 10, dan Ahmad Ammar, 5.

Manakala, anak sulungnya, Ahmad Ehsan Firdausi, 13, pula dihantar ke sebuah madrasah bagi menyambung pengajian.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja di kedai serbaneka, tetapi hanya bertahan tiga bulan saja sebelum berhenti kerana mengalami serangan jantung selain sering rasa panik dan resah apabila berhadapan dengan pelanggan berikutan masalah anxiety disorder (gangguan kerisauan).

“Bukan saya tidak mahu mencari pekerjaan tetap cuma penyakit itu yang menjadi penghalang, tetapi demi mendapatkan wang, saya lakukan kerja dari rumah dengan mengambil upah memasak.

“Namun, tempahan diterima tidak menentu, jadi pada hujung minggu, saya bersama kakak ipar menjual barangan terpakai secara jualan bonet kereta di AU5, Keramat sebagai ikhtiar untuk mendapatkan wang,” katanya yang berasal dari Mergong, Alor Setar, Kedah.

Menurut Suria, buat masa ini dia bergantung dengan bantuan bulanan RM250 selain ihsan ibu yang mendapat wang pencen arwah bapanya berjumlah RM300.

Suria berkata, lebih membimbangkannya kini adalah apabila diminta mengosongkan bilik didiami kini kerana pemilik mahu menyewakan rumah berkenaan kepada individu lain.

“Setiap bulan, saya perlu menjelaskan sewa bulanan bilik RM550 dan jumlah itu tidak termasuk bil api dan air.

“Bekas suami ada membantu, tetapi jumlah diberi hanya cukup-cukup dan lebih membuatkan saya buntu apabila tuan rumah memberi tempoh sehingga 11 Mei depan saja untuk tinggal di sini.

“Saya sudah membuat permohonan menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan berharap mendapat maklum balas segera kerana masa sudah semakin suntuk,” katanya yang mempunyai penyakit saluran jantung tersumbat, Unstabil Angina sejak 2008.

Menurut Suria, kesusahan dialami pernah membuatkannya rasa tidak berguna sehingga mengalami masalah kemurungan.

Namun, dia bersyukur kerana masih mempunyai anak dan ibu di sisi dan merancang menambah pendapatan dengan menyediakan sarapan pagi serta menjual pek makanan tengah hari berikutan adanya permintaan.

“Ada yang pernah mempersoalkan saya kerana tidak bekerja dan mengatakan sampai bila mahu meraih simpati daripada orang sekeliling.

“Sedih juga bila mengenangkan kata-kata mereka, tetapi dan anak dan ibu yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus hidup.

“Pada masa sama, saya turut berdoa semoga dipanjangkan usia supaya dapat menjaga anak dan ibu sehingga ke akhir hayat,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7618064084 atas nama Suria Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:35 PM
SURIA (kanan) bersama ibunya, Yom dan anaknya, Ahmad Ammar di   bilik sewa di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
SURIA (kanan) bersama ibunya, Yom dan anaknya, Ahmad Ammar di bilik sewa di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras.