MANGSA yang cedera diberikan rawatan awal.
MANGSA yang cedera diberikan rawatan awal.
myMetro

Alor Gajah: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dua rakannya parah apabila Perodua Kelisa dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Tebong-Batang Melaka, semalam.

Dalam kemalangan jam 11.30 pagi, Perodua Kelisa dipandu Nazrul Hizwan Ismail, 27, dinaiki anggota PGA terbabit, Mohd Shazwan Rosdi, 27, bersama seorang lagi rakan mereka, Mohd Hamdan Ibrahim, 24, dipercayai datang dari arah Gemenceh, Negeri Sembilan menghala ke Tebong.

Difahamkan, ketika kejadian Perodua Kelisa dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai keluar dari simpang dan menghala ke kanan sebelum bertembung dengan treler dipandu Rashid Ibon, 48, yang datang dari arah pekan Tebong.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, akibat pertembungan itu, treler terbabit terbabas sebelum melanggar tembok pagar Balai Polis Tebong.

“Kemalangan menyebabkan pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan cedera. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk diberi rawatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Kelisa ketika keluar dari simpang dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 7:47 AM