Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Bekas pegawai kanan polis yang pernah membintangi drama bersiri Gerak Khas, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif dan isterinya terbabit kemalangan tiga kenderaan di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, di sini semalam.

Susulan kejadian itu Shaharon Anuar, 61, yang juga bekas Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan isteri, Datin Norasmariah Basri, 46, mengalami sakit bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kemalangan membabitkan Proton Perdana dinaiki pasangan itu dengan masing-masing sebuah Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 29 tahun dan Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 38 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Kancil dan Perodua Kelisa yang kedua-duanya dari arah Tanjung Tualang ke Batu Gajah, manakala Proton Perdana dipandu Shaharon Anuar dari arah bertentangan.

Menurutnya, setibanya di simpang tiga, pemandu Perodua Kelisa memperlahankan kenderaan untuk membelok ke simpang kanan sebelum dilanggar Perodua Kancil dari belakang.

TANGKAP layar dari rakaman kejadian kemalangan tiga kenderaan termasuk kereta dinaiki Shaharon Anuar (gambar kecil) di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, di sini semalam. FOTO Tular
TANGKAP layar dari rakaman kejadian kemalangan tiga kenderaan termasuk kereta dinaiki Shaharon Anuar (gambar kecil) di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, di sini semalam. FOTO Tular

"Akibat perlanggaran, Perodua Kelisa dinaiki empat beranak termasuk seorang bayi berusia setahun dan kanak-kanak berusia lapan tahun masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Perdana dipandu oleh Shaharon Anuar.

"Kemalangan membabitkan tujuh mangsa ini yang semuanya mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, akibat kemalangan pemandu Perodua Kelisa mengalami sakit dada manakala isterinya berusia 34 tahun mengalami luka bahagian pinggang.

Menurutnya, dua anak pasangan itu mengalami luka di kepala, manakala pemandu Perodua Kancil turut sakit di bahagian dada.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan manakala Shaharon Anuar dirujuk ke sebuah hospital swasta di Ipoh," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 8:47 PM