PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paya Lebar. FOTO Ihsan Polis
PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paya Lebar. FOTO Ihsan Polis
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Pekerja kedai makan maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paya Lebar, Lubok Cina, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kemalangan itu, mangsa Mohd Afizul Mohd Radzi, 25, tahun yang memandu Perodua Myvi maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah lori, Perodua Myvi dan Proton Saga pada 1 tengah hari.

Beliau berkata, sebelum kejadian lori dipandu lelaki berusia 30 dan Proton Saga dipandu penjual ikan berusia 56 tahun dalam perjalanan dari arah sama iaitu lampu isyarat Lubok China menghala ke Masjid Tanah, manakala kenderaan mangsa yang maut pula dari arah bertentangan.

"Siasatan dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipercayai berhenti untuk masuk ke simpang kanan.

"Lori yang kebetulan berada di belakang dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta terbabit," katanya.

Menurutnya, susulan pelanggaran itu lori berkenaan kemudian terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki mangsa dan isterinya.

"Mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala isterinya yang juga parah di kepala kini dirawat di Hospital Melaka.

"Pemandu lori turut cedera dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan," katanya.

Arshad berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Alor Gajah dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 11:04 PM