KEADAAN lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tebong, Alor Gajah. FOTO Ihsan pembaca.
KEADAAN lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tebong, Alor Gajah. FOTO Ihsan pembaca.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Wanita maut manakala suaminya parah apabila motosikal dinaiki mereka terbabas merempuh lori di Jalan Tebong berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebong, dekat sini, ketika pulang menoreh getah, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi itu, mangsa Wong Mei Lian,61, disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Alor Gajah (HAG) akibat kecederaan di kepala dan kaki, manakala suaminya See Miong Kui, 62, kini dirawat di Hospital Melaka (HM) akibat patah kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, terdahulu pihaknya dihubungi HAG pada jam 7.01 pagi memaklumkan seorang wanita (Mei Lian) meninggal dunia dipercayai akibat kemalangan di Jalan Tebong, manakala suaminya dirujuk ke HM untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, hasil soal tanya bersama waris si mati di HAG, polis dimaklumkan semasa kejadian pasangan warga emas itu menaiki motosikal Honda dari kebun getah di Gemencheh, Negeri Sembilan menghala ke arah Pekan Tebong kira-kira jam 4.40 pagi dan kebiasaannya mereka keluar menoreh sekitar jam 2 hingga 2.30 pagi.

"Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dari arah Gemencheh, dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar belakang lori jenis Scania yang diparkir di bahu jalan di hadapan SMK Tebong.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi adalah jalan satu lorong dua hala dengan garisan berkembar.

"Kedudukan motosikal dipercayai sudah dialihkan dari lokasi perlanggaran pertama, manakala lori masih dalam kedudukan asal serta terdapat serpihan kemalangan dan kesan darah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, kedua-dua mangsa beralamat di Jalan Seri Hilir 9 Taman Seri Hilir, Batang Melaka itu dibawa dengan ambulans ke HAG untuk rawatan sebelum wanita itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat manakala suaminya dipindahkan ke HM untuk rawatan lanjut.

"Bedah siasat mayat si mati dijalankan di HAG dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 8:59 PM