YA’ACOB (kiri) menunjukkan kesan kebakaran rumahnya.
YA’ACOB (kiri) menunjukkan kesan kebakaran rumahnya.
Ahmad Ismail

Segamat: Terlupa memadamkan api dapur ketika memanaskan lauk dipercayai menjadi punca sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Damai, Rumah Rakyat Bukit Siput, di sini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa, Ya’acob Mohd Toha, 48, dikatakan memanaskan lauk yang dimasak isterinya namun keluar ke kedai bersama dua anaknya berusia sembilan dan 13 tahun.

Ya’acob berkata, kebakaran berlaku akibat kecuaiannya yang tidak memadamkan api dapur sebelum keluar rumah.

Dia mendakwa hanya tahu mengenai kebakaran itu apabila isterinya, Norhayati Amnin, 38, menelefonnya.

“Saya benar-benar tidak ingat masih memanaskan lauk di dapur dan percaya kebakaran berlaku kira-kira 10 minit selepas keluar rumah.

“Jiran yang sedar mengenai kebakaran menghubungi isteri di tempat kerja sebelum dia menghubungi saya.

MOHD Azahar menyerahkan sumbangan kepada Ya’acob.
MOHD Azahar menyerahkan sumbangan kepada Ya’acob.

“Isteri tiba di rumah lebih awal, namun tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana cemas. Dia hanya mampu melihat jiran berusaha memadamkan api,” katanya ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Mohd Azahar Ibrahim di rumahnya, semalam.

Ya’acob berkata, bomba tiba kemudian berjaya mengawal api daripada merebak serta memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Mohd Azahar berkata, kejadian itu wajar dijadikan pengajaran kepada orang ramai.

Katanya, penduduk perlu meluangkan masa memeriksa kebocoran saluran gas dan sekiranya terdapat rekahan lebih baik menggantikannya dengan saluran baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 3:26 AM