Sebahagian ruang tamu rumah pusaka yang  musnah dalam kebakaran.
Sebahagian ruang tamu rumah pusaka yang musnah dalam kebakaran.

Alor Gajah: Malang bagi seorang ibu tunggal apabila rumah pusaka didiaminya terbakar kali kedua dalam tempoh kurang lapan bulan di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah di sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.40 petang itu disedari jiran yang terdengar letupan sebelum api marak membakar rumah berkenaan.

Mangsa Fazilah Ismail, 54, bersama empat anak tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar beriadah.

Jiran mangsa, Mohd Din Osman, 54, berkata, dia terdengar beberapa letupan sebelum melihat api marak di bumbung rumah berkenaan.

“Saya baru pulang daripada menghadiri mesyuarat di balai raya sebelum terdengar beberapa letupan. Saya dengar seperti orang bermain mercun, tetapi bunyinya agak pelik lalu keluar meninjau untuk memeriksa apa yang berlaku.

“Selepas itu saya nampak rumah jiran terbakar lalu menjerit memaklumkan kepada penduduk kampung,” katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia menghampiri rumah itu dan memanggil penghuninya sebelum dimaklumkan mereka sekeluarga keluar beriadah di Pengkalan Balak.

“Saya meminta anak menghubungi bomba untuk membantu memadamkan api yang marak di tengah rumah,” katanya.

Sementara itu, Fazilah berkata, dia bersama empat anak berada di Pantai Pengkalan Balak sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, anggota bomba baru selesai memadam api di tengah rumah yang pernah terbakar pada Ogos tahun lalu.

“Kali ini kebakaran banyak memusnahkan harta benda berbanding sebelum ini apabila hanya bahagian tengah terbakar dan belum dibaik pulih kerana masih menunggu bantuan daripada pihak berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia hanya bekerja sendiri selepas kematian suami beberapa tahun lalu dan tidak tahu di mana mahu berteduh kerana bahagian dalam rumah rosak dan pendawaian elektrik juga perlu dibaiki.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Anuar Tambi Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) memaklumkan kejadian itu pada jam 5.48 petang.

“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera keluar ke tempat kejadian dibantu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.

“Tindakan pantas anggota bomba mengawal api daripada merebak di keseluruhan rumah dan operasi memadam selesai pada jam 6.34 petang,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berkenaan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:31 AM