Anggota bomba masih meneruskan usaha memadam kebakaran malam tadi. - Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Anggota bomba masih meneruskan usaha memadam kebakaran malam tadi. - Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


BOMBA berjaya mengawal kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian Saleng, Senai, Johor daripada merebak ke tujuh blok kilang berhampiran walaupun mengalami masalah bekalan air kerana premis kilang yang dipercayai berstatus haram itu tidak mempunyai pili bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Mohd Rizal Buang berkata, sehingga 10.20 malam, operasi pemadaman kebakaran masih dilakukan, namun berjaya menyekat api merebak ke kilang berhampiran.

"Di kawasan ini ada lapan blok kilang seperti kilang sarang burung, bahan plastik, barang terpakai serta perabot, namun kita berjaya mengawal kebakaran daripada mereka ke tujuh blok yang lain," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, memandangkan kebakaran membabitkan bahan plastik dan mercun, pihaknya menggunakan buih bagi tujuan pemadaman.

Menurutnya, pihaknya juga terpaksa menggunakan air sungai berhampiran yang agak cetek memandangkan tiada kemudahan pili bomba di lokasi kejadian.

"Dua water tanker berkapasiti 20,000 liter dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dan Bandar Baru Kulai dikerah ke lokasi kejadian, namun masalah bekalan air akan memakan sedikit masa apatah lagi apabila membabitkan kebakaran bahan letupan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.19 petang dan jentera pertama yang tiba di lokasi pada 5.30 petang sebelum kebakaran terkawal pada 8.16 malam.

"Setibanya pasukan bomba, api marak dan kita percaya ia membabitkan kebakaran bahan plastik dan ada juga bunyi letupan yang dipercayai mercun dan bunga api.

"Kita percaya kilang ini ada menyimpan mercun selain barang kitar semula plastik," katanya.

Operasi yang dijalankan itu membabitkan 92 anggota termasuk 30 anggota bomba dari BBP Bandar Baru Kulai, Kulai, Skudai, Pasir Gudang dan Tebrau, selain 30 anggota polis, 16 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 14 anggota sukarela dari Kulai dan Senai, serta dua kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diarahkan untuk membuat kerja pemotongan bekalan elektrik.

Mohd Rizal berkata, ini adalah kes pertama membabitkan kilang yang dipercayai menyimpan mercun di negeri ini dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:54 AM