ISMAIL Sabri  (tiga  dari kanan) beramah mesra dengan  pelajar yang menerima peralatan dan beg sekolah pada Majlis Pelancaran Program Tuisyen Rakyat@KKLW di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.
ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar yang menerima peralatan dan beg sekolah pada Majlis Pelancaran Program Tuisyen Rakyat@KKLW di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.
myMetro

Kuala Kangsar: Pembangkang perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaan beberapa kawasan di Kuala Kangsar menghadapi masalah infrastruktur sebagaimana dinyatakan calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad ketika sesi pengenalan minggu lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika benar wujud masalah sebagaimana didakwa, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) segera mengambil tindakan menanganinya.

“Pembangkang boleh membawa apa saja isu, tetapi dari segi pembangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak banyak perkara yang kita lakukan.

“Bagi Parlimen Kuala Kangsar, saya percaya kemudahan semua ada, bukan saja jalan masuk ke kampung, malah pelbagai lagi kemudahan tambahan turut kita sediakan.

“Soal kecil seperti jalan kampung pecah, itu memang sentiasa berlaku dan ia tidak boleh dianggap tiada pembangunan. Kita akan baiki,” katanya selepas merasmikan Tuisyen Rakyat@KKLW di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Mengulas tindakan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Harman Jamalullail yang mengumumkan akan bertanding di PRK Kuala Kangsar sebagai calon Bebas, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, sebagai negara demokrasi sesiapa saja boleh bertanding pada mana-mana pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, di dalam Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli yang mahu bertanding sebagai calon bebas, maka keahliannya sebagai anggota parti secara automatik akan gugur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:20 AM