MASTURA diwakili anaknya, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il (kiri) bagi menerima watikah pelantikan calon PRK Kuala Kangsar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 28 Mei lalu. FOTO Bernama
MASTURA diwakili anaknya, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il (kiri) bagi menerima watikah pelantikan calon PRK Kuala Kangsar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 28 Mei lalu. FOTO Bernama
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan berkempen dari rumah menggunakan mini studio khas berikutan masih dalam tempoh edah selepas kematian suami.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya memutuskan demikian berikutan Mastura masih dalam edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan Islam apabila kematian suami.

Beliau berkata, sehubungan itu Mastura dapat menyampaikan ceramah di mana-mana lokasi dipilih melalui studio mini di rumahnya.

"Kita akan menyediakan dua skrin LED bergerak bagi menyiarkan rakaman ucapan beliau dan juga ceramah secara langsung di kawasan Parlimen Kuala Kangsar," katanya ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Sebelum ini Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr Fathul Bari Mat Jahya dipetik berkata, Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam edahnya selepas baru kematian suami.

Oleh itu beliau mencadangkan agar anak beliau menjadi pengganti untuk berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Pada 28 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura,55, yang juga balu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 3:03 PM