NAJIB  melambai ketika meninggalkan acara  selepas merasmikan Majlis Pelancaran Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian Seluruh Selangor,  semalam.
NAJIB melambai ketika meninggalkan acara selepas merasmikan Majlis Pelancaran Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian Seluruh Selangor, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai formula untuk memecah tembok mustahil terutama bagi menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, formula berkenaan digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini dan terbukti berjaya sehingga calon yang diletakkan menang bergaya.

Beliau berkata, kejayaan pada dua PRK berkenaan akan dijadikan penanda aras dan rujukan.

“Jika tidak lulus saringan, calon berkenaan tidak akan masuk dalam senarai pemilihan calon.

“Saya juga melihat faktor calon menjadi penyumbang utama bagi kemenangan sesebuah pilihan raya. Malah, keputusan meletakkan Budiman Mohd Zuhdi sebagai calon PRK Sungai Besar sangat tepat dan kita peroleh kemenangan bergaya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian Seluruh Selangor, semalam.

Katanya, UMNO Selangor kini sudah ada jentera yang kuat justeru, fokus utama kini adalah untuk merampas semula Selangor pada pilihan raya akan datang.

Najib berkata, UMNO di Selangor perlu mengekalkan momentum dan komitmen sebagaimana ditunjukkan pada PRK Sungai Besar lalu.

Menurutnya, banyak pengajaran yang diperoleh UMNO pada kekalahan di peringkat bahagian dan dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum lalu di mana ia berpunca daripada perpecahan dalaman.

“Tak payah pergi jauh, kita lihat pada bahagian UMNO di Sepang, majoriti kekalahan adalah kecil. Ia disebabkan oleh perpecahan dalaman parti yang menyebabkan undi berpecah kepada dua calon bebas dan undi rosak.

“Jika dihitung undi bagi dua calon bebas itu, kita mampu menang di Sepang. Kita kena jadikan ini sebagai pengajaran dan tidak memilih calon secara semberono saja dan jika ia terus diamalkan, maka perpecahan akan terus berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 11:26 AM