Azmil
Azmil
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Impian saya mati ketika berdakwah, itu idaman saya,” kata pelakon popular era 80-an, Azmil Mustapha atau turut dikenali sebagai Ustaz Azmil.

Beliau yang ditemui pada Program Minggu Usrah Jamaah anjuran Surau Putra Al-Amin, Presint 8, di sini baru-baru ini berkata, beliau baru saja dibenarkan keluar dari Hospital Langkawi dua minggu lalu sebelum kembali aktif berdakwah.

Azmil berkata, beliau akui tidak begitu kuat berikutan masalah kesihatan dialaminya namun kembali bersemangat sekiranya diberi peluang dan memenuhi jemputan program dakwah.

“Saya tidak boleh berhenti berdakwah, jika ditakdirkan saya mati ketika berdakwah sekalipun tidak mengapa kerana itu impian dan idaman saya.

“Jika mati ketika berdakwah memang sesuatu yang ajaib kerana ia mati di jalan Allah SWT,” katanya.

Beliau mengakui tidak boleh duduk diam malah, berasa seperti orang bodoh jika terus duduk dan berehat di rumah.

Azmil berkata, ketika diserang penyakit jantung tiga minggu lalu, beliau akui terlalu sibuk kerana memenuhi undangan ceramah dan program dakwah selama dua minggu di Alor Setar, Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang.

“Bila saya berdakwah, saya seperti diberi tenaga dan semangat. Jika saya duduk di rumah, saya seperti orang sakit kerana semua perkara termasuk mandi dan makan diuruskan anak-anak,” katanya.

Katanya, beliau berdoa supaya diberi kesihatan yang baik supaya dapat kembali aktif dalam program dakwah dan ceramah.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga memaklumkan bahawa ada pihak yang berura-ura untuk mengundangnya menyampaikan dakwah dan ceramah di beberapa negara barat selepas mengambil kira kefasihan dan penguasaannya berbahasa Inggeris.

Azmil yang popular menerusi watak Ali Setan dimasukkan ke Hospital Langkawi awal bulan ini selepas mengalami sesak nafas dan lemah anggota badan sebelum dibenarkan keluar dari wad beberapa hari kemudian.

Beliau yang kini bergelar pendakwah bebas pernah dimasukkan ke Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya akibat masalah sama selain pernah menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital di Syria pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 8:43 AM