Nabil Ahmad
Nabil Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Vaksin itu 'duduk' dalam ikhtiar," kata pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad ketika diminta mengulas mengenai pengambilan vaksin yang ditolak sesetengah individu dengan mengaitkan agama sebagai alasan.

Nabil ketika dihubungi berkata, dia juga merujuk beberapa ustaz yang mengajarnya dan bertanya mengenai pengambilan vaksin Covid-19.

"Kita takut benda yang kita tak tahu sama ada betul atau tak sebab kita dengar macam-macam benda. Saya ambil sebab ustaz-ustaz saya yang belajar agama dari kecil sampai dah tua, semuanya ambil. Mereka ambil sebab itu adalah ikhtiar," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sekiranya pengambilan vaksin adalah satu langkah untuk memudahkan mereka bergerak dan berdakwah, kenapa ia perlu ditolak.

"Kalau ini jalan untuk kita boleh bergerak dan buat berdakwah, beritahu orang mengenai Allah dan Nabi, mereka ambil vaksin.

"Mereka nak sampaikan agama dan berdakwah. Kalau tak, tak boleh bergerak dan bagaimana mereka nak mengajar agama," katanya.

Menurutnya, dia menyerahkan perkara mengenai kesihatan dan kemudaratan kepada Allah sepenuhnya.

"Sihat dan mudarat, mereka (guru-gurunya) letakkan 100 peratus kepada Allah. Kita ambil mana yang memudahkan diri kita. Itu semua demi memelihara ukhwah dan semangat agama kita. Mati itu takdir Allah. Kalau ambil vaksin atau tidak, itulah tarikh dan waktu yang kita takkan boleh elak," katanya.

Nabil yang cukup popular sebagai pengacara untuk beberapa program TV kini dilihat mula melakukan penghijrahan ke arah kebaikan dan perubahannya itu dilihat menyentuh hati banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 4:58 PM