Tongkang Anand 12 ditemui hanyut di perairan Tungku, Lahad Datu, kelmarin.
Tongkang Anand 12 ditemui hanyut di perairan Tungku, Lahad Datu, kelmarin.

Kota Kinabalu: Selepas sembilan hari dilaporkan hilang akibat dirampas kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan Filipina, tongkang membawa arang batu ditemui semula di perairan Tungku, kelmarin, dipercayai dihanyutkan ombak.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, tongkang dinamakan Anand 12 ditemui nelayan tempatan lalu memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, APMM yang berpangkalan di Lahad Datu bergegas ke lokasi sebelum mengesan tongkang berkenaan pada jam 1.05 petang.

Ketika ditemui, tiada individu berada di dalam tongkang berkenaan manakala muatan dibawa tidak terusik.

Pengarah APMM Sandakan Kapten Maritim A Razak Abd Rahman berkata, tongkang itu dipercayai hanyut dari Terumbu Alice di Filipina sebelum memasuki perairan negara.

“Berdasarkan maklumat, dua bot APMM bersama sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dikerah ke lokasi untuk pemeriksaan.

“Tongkang ditemui terapung pada kedudukan 8.4 batu nautika dari timur laut Platform Tun Sharifah Rodziah (TSR) atau 13.7 batu nautika dari tenggara Tanjung Tungku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, tongkang itu ditunda ke Jeti Fordeco Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci susulan penemuan semula tongkang berkenaan.

“Polis bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mengenal pasti pemilik tongkang berkenaan.

“ESSCOM terpaksa menunda tongkang ini kerana boleh membahayakan kapal lain sekiranya dibiarkan hanyut di perairan itu,” katanya.

Dalam kejadian 26 Mac lalu, seramai 10 warga Indonesia ditahan kumpulan terbabit selepas kapal mereka dirampas di perairan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 9:38 AM