ROSLI (kanan) melihat pelajar yang menjalani terapi  ‘multisensory’ di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, Kuantan, semalam.
ROSLI (kanan) melihat pelajar yang menjalani terapi ‘multisensory’ di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, Kuantan, semalam.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau, di sini, menjadi sekolah pertama di Pahang mempunyai bilik terapi ‘multisensory’ yang lengkap untuk kemudahan murid pendidikan khas.

Bilik itu direka khas untuk memberikan ketenangan, tempat rehat dan bagi mendatangkan minat kanak-kanak istimewa belajar sambil bermain dengan pelbagai peralatan disediakan.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Pahang, Rosli Abdul Mubin berkata, kesungguhan guru dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi pencetus kepada pembinaan bilik terapi berkenaan.

Katanya, dengan kos sebanyak RM25,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk guru, impian memiliki kemudahan khusus untuk murid istimewa akhirnya menjadi kenyataan.

Menurutnya, peralatan permainan seperti ‘sarang lelabah’ untuk aktiviti memanjat, jambatan gantung, kotak rehat bersama bola dan buaian mampu memberi kesan terhadap murid istimewa.

“Kejayaan SK Bukit Sekilau menyediakan bilik terapi ‘multisensory’ seharusnya menjadi contoh kepada sekolah lain yang mempunyai murid istimewa untuk berusaha menyediakan kemudahan sama.

“Murid istimewa ini terdiri daripada penghidap ‘Sindrom Down’ dan lembam bukan saja memerlukan lebih perhatian daripada guru tetapi juga kemudahan peralatan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bilik terapi ‘multisensory’ Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Bukit Sekilau, di sini, semalam.

Turut hadir, Guru Besar SK Bukit Sekilau, Saari Abd Ghani.

SK Bukit Sekilau mempunyai seramai 30 murid istimewa berusia tujuh hingga 14 tahun.

Rosli berkata, Jabatan Pendidikan Negeri sebelum ini menyediakan peruntukan sebanyak RM210,000 kepada SK Bukit Sekilau bagi membangunkan PPKI yang lebih lengkap dan sempurna.

Sementara itu, ibu kepada murid istimewa
di sekolah itu, Noraya Bujang, 39, berkata, bilik terapi ‘multisensory’ disediakan dapat menambahkan lagi minat anaknya untuk pergi ke sekolah.

“Pelbagai peralatan permainan dan bilik rehat yang ada mampu mengurangkan tekanan kepada pelajar istimewa yang emosi mereka adakalanya tidak menentu hingga sukar dikawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 9:20 AM