RMHC Malaysia dengan kerjasama Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad  memberi keceriaan kepada kanak-kanak istimewa melalui penganjuran rumah terbuka di Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) Kuala Lumpur pada 23 April lalu.
RMHC Malaysia dengan kerjasama Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad memberi keceriaan kepada kanak-kanak istimewa melalui penganjuran rumah terbuka di Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) Kuala Lumpur pada 23 April lalu.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Dianggarkan bahawa antara 10 peratus daripada populasi orang kurang upaya (OKU), satu pertiga adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun.

Jika diterjemahkan anggaran berkenaan kepada kepada 33 juta penduduk Malaysia, terdapat kira-kira 1,100,000 kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun dengan beberapa bentuk kecacatan yang memerlukan penjagaan khas.

Sokongan khususnya daripada badan bukan kerajaan sangat diperlukan untuk memberikan ruang serta peluang kepada kanak-kanak ini khususnya dalam kelengkapan dan penyediaan fasiliti yang sempurna.

Bagi tujuan itu, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) antara organisasi bukan berasaskan keuntungan yang terkedepan dalam menyantuni golongan kecil berkenaan khususnya kepada penyediaan fasiliti, program kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Hasil daripada inisiatif yang diambil oleh RMHC Malaysia, lebih RM50 juta sudah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada lebih 150,000 kanak-kanak di seluruh negara sekali gus membawa impak kepada kehidupan mereka menerusi teras kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Ini termasuk membangunkan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) yang direka khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan ketidakupayaan pembelajaran untuk membina kemahiran kognitif dan keyakinan diri mereka.

Dilengkapi dengan peralatan multi-sensori (kelepelbagaian sensori), RMSR direka untuk membantu perkembangan membabitkan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan dan bau.

RMHC Malaysia bekerjasama dengan pelbagai pusat pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas dalam membangunkan RMSR.

Pada masa ini, terdapat 35 bilik terapi sensori sudah dibangunkan dengan RM4.1 juta disalurkan ke program berkenaan dan lebih kurang 4,500 kanak-kanak mendapat manfaat daripada program ini setiap tahun.

Sebanyak empat program utama sudah diperkenalkan iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald (RMSR), Program Anugerah Senyuman (Gift of Smile) dan Pek Kembali ke Sekolah bagi menyokong ketiga-tiga teras berkenaan.

Sejak 1999, RMHC Malaysia sudah menubuhkan Rumah Ronald McDonald (RMH) untuk membantu keluarga mendapatkan kemudahan penginapan sementara anak-anak mereka menjalankan rawatan di hospital.

Kini, terdapat empat RMH di seluruh negara iaitu RMH di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras, RMH di Hospital Universiti Sains Malaysia (Kelantan), RMH di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur dan RMH di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Kota Kinabalu.

Selain itu, Program Anugerah Senyuman (Gift of Smile) sudah membantu lebih 1,500 kanak-kanak yang dilahirkan dengan klef bibir dan lelangit untuk mendapatkan rawatan pembetulan dan susulan dengan kos sebanyak RM6 juta dibelanjakan sejak 2004.

Pada masa sama, Program Pek Kembali Ke Sekolah yang dilancarkan pada 2017, bertujuan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik serta meningkatkan keyakinan mereka dalam pelajaran melalui sumbangan barangan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, stoking dan beg sekolah.

Pada bulan Syawal ini, RMHC tidak ketinggalan untuk memberikan keceriaan kepada kanak-kanak memandangkan golongan kecil itu antara yang paling teruja jika menyentuh tentang Aidilfitri.

RMHC Malaysia dengan kerjasama Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad terus memberi keceriaan kepada kanak-kanak istimewa melalui penganjuran rumah terbuka di Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) Kuala Lumpur pada 23 April lalu.

Seramai 35 anak-anak sindrom Down yang menjalankan terapi di PSDM dan ahli keluarga mereka hadir ke majlis berkenaan.

Sementara itu, Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, bulan Syawal ini memberi makna supaya lebih berkasih sayang antara insan serta meraikannya tanpa ada diskriminasi.

"Oleh itu, RMHC Malaysia mengambil peluang untuk menyuburkan hubungan masyarakat dengan kanak-kanak istimewa ini selaras dengan teras kami untuk menyantuni mereka melalui kebajikan dan kesejahteraan bersama-sama.

"Ini juga adalah masa yang terbaik untuk memupuk hubungan dan meraikan kepelbagaian individu yang istimewa yang lazimnya berdepan cabaran interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku yang berulang," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia, Hanizan Hussin menyatakan bahawa pihaknya sangat terharu dengan sokongan RMHC Malaysia terhadap kanak-kanak istimewa.

"Saya berharap agar sokongan dan sambutan perayaan seperti ini akan diteruskan kerana ia dapat memanfaatkan kanak-kanak istimewa ini selain daripada memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keistimewaan mereka.

"Saya juga amat berharap agar program dan kemudahan alatan sensori ini akan berkembang bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar dengan sokongan dan bantuan badan korporat dan agensi persendirian kepada pihak RMHC untuk meneruskan penempatan kegunaan bilik sensori yang sesuai digunakan untuk terapi dan pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:01 AM