PELAJAR mempraktikkan salah satu kaedah multisensori.
PELAJAR mempraktikkan salah satu kaedah multisensori.
Fazurawati Che Lah

Dalam konteks kanak-kanak berkeperluan khas, pendekatan multisensori sesuai bagi mereka yang mengalami disleksia khususnya membantu menguasai kemahiran membaca.

Selain masalah disleksia, terapi multisensori juga membantu kanak-kanak yang bermasalah seperti autisme, epilepsi, pembelajaran, sindrom Down, hiperaktif dan kelengahan global.

Kaedah multisensori adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran serentak yang menjurus kepada aplikasi visual, auditori dan kinestetik-taktil.

Malah kaedah terapi ini antara pendekatan berkesan untuk merangsang perkembangan minda kanak-kanak berkeperluan khas menerusi lima rangsangan asas iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau, rasa dan rangsangan sendi.

Di samping itu, kaedah multisensori untuk memulihkan kanak-kanak menghadapi masalah penguasaan kemahiran membaca ini adalah hasil penyelidikan yang dijalankan Samuel T Orton yang juga dikenali sebagai ‘Bapa Disleksia’.

Mengulas lanjut, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa ), Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata penerapan teknik seperti menulis berdasarkan ‘feel’ melalui penggunaan deria rasa dan alatan seperti kertas pasir menjadikan strategi multisensori lebih berjaya membantu kanak-kanak disleksia.

PELAJAR mempraktikkan salah satu kaedah multisensori.
PELAJAR mempraktikkan salah satu kaedah multisensori.

Katanya, melalui kaedah tradisional guru menyampaikan pengajarannya secara terus, sedangkan kaedah multisensori lebih menekankan deria sampingan yang digunakan sebagai agen penyampai.

Murid disleksia biasanya menghadapi masalah untuk mengaitkan bunyi dengan simbol huruf.

“Melalui kaedah multisensori guru akan mengajar kanak-kanak ini menghubungkan bunyi dan bentuk huruf di samping membayangkan bentuk huruf berkenaan.

“Apabila kanak-kanak ini melalui proses awal mengenal huruf, mereka dengan berhati-hati menyurih, meniru dan menulis huruf sambil menyebut bunyi huruf berkenaan.

“Guru berperanan dengan menunjukkan huruf dan murid pula menyebut bunyinya.

“Bermula daripada huruf, proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya membabitkan pembentukan suku kata, perkataan serta ayat.

“Proses pengajaran dan pembelajaran sebenarnya akan melalui tiga elemen penting iaitu visual, auditori dan kinestetik-taktil secara serentak,” katanya.

HAQIEM Rusli ditemui pada majlis pelancaran lagu Lara.
HAQIEM Rusli ditemui pada majlis pelancaran lagu Lara.

Katanya, dalam konteks ini beberapa kaedah sudah digunakan dalam mengajar membaca kanak-kanak berkeperluan khas khususnya kanak-kanak disleksia termasuk kaedah abjad, fonik, suku kata, seluruh kata dan gabungan bunyi kata.

“Namun begitu dengan mengambil kira ciri-ciri kanak-kanak disleksia ini, kaedah multisensori yang mempunyai kekuatan dari aspek komponen dan kandungan membolehkan ia diadaptasi sebagai kaedah alternatif terbaik dalam pengajaran membaca murid disleksia.

“Lima prinsip utama menggunakan kaedah multisensori iaitu pengajaran serentak pelbagai deria, sistematik dan kumulatif, arahan terus dan tepat, pengajaran diagnostik dan sintesis serta analitis,” katanya.

Beberapa kajian berkaitan penggunaan kaedah multisensori kepada murid disleksia dijalankan. Antaranya perbandingan keberkesanan penggunaan terapi itu berbanding kaedah yang dikenali ‘Fast For Word’.

PELAJAR pendidikan khas menjalani salah satu terapi sensori di Seminar dan Bengkel Senaman Terapeutik.
PELAJAR pendidikan khas menjalani salah satu terapi sensori di Seminar dan Bengkel Senaman Terapeutik.

“Seramai 31 kanak-kanak disleksia terbabit dalam kajian ini. Ujian pra dan pasca dijalankan untuk melihat pencapaian dan kebolehan suku kata, pengecaman huruf dan perkataan serta pembentukan perkataan.

“Dapatan ujian pasca menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam kebolehan dan penguasaan suku kata bagi kedua-dua kaedah.

“Hasilnya didapati kaedah multisensori menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam penguasaan kemahiran membaca dan menulis khususnya bagi kanak-kanak lelaki yang mengikuti kaedah multisensori berbanding kanak-kanak dalam kumpulan kawalan yang diajar menggunakan kaedah tradisional,” katanya.

Sementara itu, atas kesedaran kepentingan membantu kanak-kanak berkeperluan khas, pensyarah di Institut Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Donnie Adams Paramasivam melaksanakan satu program bagi mendekati golongan murid yang menerima pendidikan khas ini.

Program Seminar dan Bengkel Senaman Terapeutik untuk Meningkatkan Kemahiran Sensori Anak Istimewa diadakan, baru-baru ini dengan bantuan geran penyelidikan dari Pusat Komuniti serta Kelestarian (UMCares), UM.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas berkenaan pelbagai kategori kanak-kanak berkeperluan khas.

“Selain itu, ia memainkan peranan untuk membantu perkembangan anak mereka dalam aspek emosi, tingkah laku, kemahiran psikomotor dan mengurangkan penampilan kecacatan.

“Anak berkeperluan khas kebiasaannya kurang melakukan senaman terapeutik sensori di rumah disebabkan kekurangan kemahiran ibu bapa dalam bidang ini,” katanya.

 KAEDAH sensori merangsang deria sendi.
KAEDAH sensori merangsang deria sendi.

Melalui program ini, ibu bapa didedahkan berkenaan teknik senaman terapeutik motor kasar dan halus yang berkesan melalui kuliah dan juga tutorial sambil dipantau pelatih.

“Pemindahan ilmu dan hasil pendedahan yang diterima dalam program ini diharapkan memberi impak yang berterusan dan berpanjangan kepada keluarga mereka apabila senaman ini terus dipraktikkan di rumah kelak,” kata Dr Donnie.

Program ini dilaksanakan di beberapa sekolah di Lembah Klang termasuk Sekolah kebangsaan (SK) Sri Damai, SK Satu Sultan Alam Shah, SK Seksyen 11 Kota Damansara, SK Sri Kelana, dan SK Damansara Jaya 1.

Ia membabitkan lebih 80 orang kanak-kanak berkeperluan khas bersama ibu bapa masing-masing.

Dr Donnie berkata, Universiti Malaya komited menempatkan warganya di segenap aspek usaha pembangunan masyarakat termasuklah menyokong usaha berkaitan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

BILIK darjah selesa tarik minat pelajar pendidikan khas.
BILIK darjah selesa tarik minat pelajar pendidikan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 2:05 PM