GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

"SEMUANYA bermula dari arwah ayah. Jiwa, semangat dan keikhlasannya sebagai pendidik termasuk kepada 'anak istimewa' membuatkan kami adik-beradik jatuh hati terhadap profesion perguruan.

"Arwah ayah cikgu Mohd Salim Nordin pernah buka kelas (mengajar) di bawah tangga Sekolah Kebangsaan Simpang Durian (SKSD), Jelebu. Beliau tak pernah jemu mengajar ABC setiap hari kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Apabila ada anak murid yang pandai membaca, ia satu kepuasan bagi ayah.

"Bertitik tolak dari situ, saya nekad mahu menjadi guru lebih-lebih lagi menabur bakti mengajar anak istimewa. Ayah berpesan, sebagai guru kita perlu ikhlaskan hati dan menyerahkan seluruh jiwa raga demi mendidik murid tidak kiralah siapa dan apa pun latar belakang mereka " demikian menurut guru PPKI di Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir (SMKTH), Jelebu, Siti Aishah Mohd Salim ketika membuka bicara.

Ayahnya berkhidmat sebagai guru dari usia 23 tahun sehingga bersara pada usia 60 tahun.

Beliau meninggal dunia pada 2017 iaitu setahun selepas bersara.

Melihatkan komitmen ayahnya terhadap anak istimewa itu, beliau nekad mahu mengikuti jejak langkah ayahnya untuk menjadi guru, terutama menabur bakti mengajar anak istimewa.

Memiliki ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dari Universiti Sains Malaysia (USM), beliau berpengalaman selama 11 tahun mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kemahiran Hidup (Masakan) dan Sains bagi PPKI di SMKTH.

SMKTH terletak bersebelahan dengan SKSD, sekolah di mana ayahnya pernah mengajar dahulu.

Siti Aishah adalah anak kedua daripada lima adik beradik. Hanya adik bongsu tunggal lelakinya sahaja yang tidak memilih kerjaya sebagai guru. Suami Siti Aishah dan abang iparnya juga guru.

Justeru, tidak hairanlah apabila keluarga Cikgu Salim dikenali sebagai 'keluarga cikgu' oleh penduduk setempat.

Bagi Siti Aishah, mengajar pelajar PPKI ada cabaran tersendiri dan beliau bersyukur serta gembira kerana dapat merealisasikan cita-cita yang diidamkan.

"Cabaran mengajar pelajar PPKI tidak seperti mengajar pelajar normal kerana mereka pelajar istimewa. Ada yang lambat, sukar untuk memahami apa yang disampaikan dan perlu diajar berulang kali. Sungguh pun begitu, saya seronok.

"Pelajar PPKI jika diberi peluang dan melalui saluran yang betul, mereka boleh melakukan sama seperti pelajar aliran perdana malah tidak mustahil juga lebih baik. Mereka juga ada kecenderungan, potensi dan bakat tertentu yang boleh digilap.

"Contohnya, seorang pelajar yang mengalami masalah pembelajaran dari PPKI SKSD, apabila ke SMKTH, saya tempatkan beliau di kelas inklusif aliran perdana. Ketika tingkatan empat, dia menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam dan berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai sebuah pertandingan sukan permotoran di Jepun," katanya.

Berhubung perkembangan pelajaran pelajarnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 ketika ini, Siti Aishah berkata, kerja sekolah dan latihan diberikan melalui aplikasi Whatspps Group penjaga.

"Ada ibu bapa dan penjaga yang positif membantu pelajar untuk membuat kerja sekolah namun ada juga yang senyap, diam seribu bahasa. Boleh kata maklum balas yang diterima 50-50. Selain kekangan kemudahan telefon, kebanyakan pelajar juga agak sukar untuk mengikuti kaedah pembelajaran dari rumah.

"Sungguh pun begitu, perjuangan mendidik tetap diteruskan. Sebagai guru PPKI, kami umpama wira di mata para pelajar.

"'Tumbang' kami, tumbanglah anak-anak PPKI. Insya-Allah saya akan terus menyumbang bakti dan tenaga untuk mendidik mereka selain berharap ibu bapa juga akan terus memberi kerjasama dan menyokong usaha kami," katanya, yang turut berkongsi terdapat ibu bapa yang bertemu beliau dan mengucapkan terima kasih serta mengalirkan air mata kerana berjaya mendidik anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 10:54 AM