Ahmad Luqman memandikan kerbau peliharaannya.
Ahmad Luqman memandikan kerbau peliharaannya.
Rahmat Othman

Changlun: Seorang penternak kerbau di sini terpaksa memandikan 40 ekor kerbau peliharaannya setiap hari bagi menyejukkan haiwan itu daripada kepanasan akibat cuaca panas yang melanda kerana El Nino ketika ini,

Akibat cuaca panas terik tempat berkubang yang menjadi habitat haiwan itu menjadi kering kontang sejak dua bulan lalu menyebabkan kerbau itu terpaksa dimandikan setiap hari.

Penternak Ahmad Luqman Hakim Norazlan, 26, berkata, tempat berkubang yang menjadi habitat kerbaunya menjadi kering kontang dan haiwan itu terpaksa dimandikan setiap hari bagi menyejukkannya daripada kepanasan dan menjaga kesihatannya.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya kerbau itu tidak dimandikan mungkin kesihatan haiwan akan terjejas selain menimbulkan masalah.

“Kerbau sensitif dan perlu berkubang atau berendam untuk menyejukkan suhu badannya daripada kepanasan tambahan pula dalam cuaca panas yang tinggi begini haiwan itu perlu air dan disiram sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sehari,” katanya.

Ahmad Luqman Hakim yang menternak kerbau, lembu dan kambing sejak kira-kira lima tahun lalu mendakwa dia terpaksa memandikan kerbau setiap kali cuaca panas.

“Sepanjang lima tahun menjadi penternak ini kali pertama mengalami kepanasan melampau yang terpaksa menggunakan air untuk menyejukkan kerbau,” katanya.

Menurutnya, kerbau sensitif kerana jika tiada air boleh menimbulkan kemurungan, tidak selesa, menjadi ganas, tidak menentu dan kurang sihat.

Katanya, semua kerbau itu akan dimandikan secara bergilir-gilir pada jam empat petang setiap hari, malah ada ketikanya ia dimandikan dua kali sehari.

“Jika tidak berkubang atau tidak dimandikan ia boleh menjejaskan kesihatan haiwan itu dan berkemungkinan membantutkan tumbesaran, sekali gus menjejaskan harga haiwan itu.

“Bagi kerbau, berkubang penting kerana membantu menyihatkan dan membesarkan saiz tubuhnya supaya lebih sihat selain menyediakan makanan harian musim panas berpanjangan boleh menjejaskan haiwan itu kalau tidak dijaga dengan betul,” katanya.

Ahmad Luqman Hakim yang juga pemegang ijazah di bidang Syariah Kolej Universiti Insaniah berkata, air yang digunakan untuk tujuan itu dari kolam yang terletak tidak jauh dari kebunnya yang disedut dengan menggunakan jentera yang dibelinya dua tahun lalu dengan harga RM2,000.

Katanya, dia percaya, sekiranya keadaan panas itu berterusan masalah kerbau itu tidak akan terjejas kerana bekalan air di kolam itu masih banyak.

Penolong Pegawai Veterinar Kedah Ghairizam Ghozali, ketika ditemui berkata, jika cuaca panas seperti sekarang, kerbau dan lembu perlu disiram air bagi mengurangkan kepanasan.

“Terutama kerbau yang memerlukan tempat untuk berkubang seperti habitatnya kerana jika tiada tempat berkubang haiwan itu perlu disiram dengan air sekurang-kurangnya sekali sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 9:25 AM