Cuaca panas melampau ketika ini banyak memberi impak kepada penternak. FOTO Bernama
Cuaca panas melampau ketika ini banyak memberi impak kepada penternak. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Muhammad Zubir Mohamed, 42, menghela nafas panjang sebaik diberitahu oleh pekerjanya mengenai kematian seekor lagi lembunya ketika dia sedang bersiap memulakan rutin hariannya seawal 7 pagi di ladang fidlotnya di Bangi.

Lembu pedaging yang diternaknya secara fidlot untuk memenuhi permintaan ibadah korban bersempena dengan Aidiladha dipercayai mati akibat tekanan haba berikutan cuaca panas yang berlaku ketika ini.

Kematian terbaharu itu bermakna sudah 20 lembu ternakannya menjadi korban cuaca panas melampau susulan fenomena El Nino yang sedang melanda banyak negara di dunia ketika ini dengan tempoh jangkaan hingga September depan.

"Cuaca panas melampau ketika ini banyak memberi impak kepada penternak. Kami turut terkesan apabila 20 lembu yang sepatutnya dijual untuk ibadah korban mati sepanjang tempoh tiga bulan lepas.

"Bayangkan, seekor lembu yang berat biasa anggaran 180 kilogram (kg) hingga 250 kg bernilai sekitar RM4,300. Ini bermakna dengan 20 ekor kematian menyebabkan kami kerugian hampir RM100,000," katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang seluas 0.8 hektar yang diusahakannya sejak 2004.

Menurut bapa kepada enam orang anak ini, cuaca panas yang berlaku ketika ini turut menjejaskan tumbesaran ternakannya sehingga berat haiwan itu menurun dan tidak dapat dijual pada tempoh yang sepatutnya.

Ini turut menyebabkan kos operasi meningkat apabila terpaksa melanjutkan tempoh ternakan haiwan itu sehingga berat mencapai berat minimum 180 kg.

"Haiwan apabila stres disebabkan panas, tidak berselera makan dan ini menjejaskan berat badannya. Bagi lembu tempatan biasanya mengambil masa dua minggu untuk menaikkan kembali berat badannya tetapi untuk lembu import yang bersaiz besar ada yang mengambil masa hingga sebulan.

"Lagi lama haiwan ini berada di kandang, lagi banyaklah kos yang terpaksa dibelanjakan tambah lagi ketika musim panas ini," katanya yang mempunyai lapan orang pekerja dan haiwan ternakan sebanyak 350 ekor termasuk 50 kerbau.

Menjelaskan lebih lanjut, dia berkata, rutin hariannya sebagai pengurus di ladang fidlot itu berubah sejak tiga bulan lepas bagi menyesuaikan dengan peningkatan suhu yang kadang kala mencecah hingga 40 darjah Celsius.

Jika sebelum ini, dia hanya memandikan haiwannya sekali sehari pada waktu pagi, tetapi ketika cuaca panas, dia perlu memandikannya sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang.

Selain terpaksa menambah jumlah air minuman di dalam kolam yang disediakan sebanyak 40 hingga 45 liter sehari, dua kali ganda berbanding bukan semasa cuaca panas.

"Haiwan apabila dalam cuaca panas, akan gelisah, termenung sehingga menyebabkannya tertekan, dehidrasi. Apabila lihat keadaan haiwan tidak selesa, kami mula memandikannya dua kali sehari selain memastikan kandang dalam keadaan bersih.

"Kandang yang kotor, memudahkan haiwan terdedah dengan pelbagai penyakit dan berisiko mati," katanya yang turut menambah kos ubat-ubatan dan makanan tambahan untuk haiwan ternakan turut meningkat ketika musim panas.

Menurut Muhammad Zubir, kos operasinya akan lebih meningkat apabila membabitkan lembu import yang memerlukan penjagaan lebih rapi seperti baka Limousine Bull dari Australia apabila terpaksa memasang jaring garden net bagi mengurangkan tekanan kepanasan.

Mengikut rekod, El Nino pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952, dan kejadian paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan oleh Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 9:24 AM