Mohd Hanif Mat Hussin, 30, (baju hitam) melihat lembu peliharaannya makan rumput yang dibeli ketika ditemui di kandangnya, di Kampung Kubang Edang, Peringat. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Mohd Hanif Mat Hussin, 30, (baju hitam) melihat lembu peliharaannya makan rumput yang dibeli ketika ditemui di kandangnya, di Kampung Kubang Edang, Peringat. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Oleh Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Fenomena El Nino atau kemarau berterusan yang melanda sejak empat bulan lalu menggusarkan penternak lembu.

Sebahagian penternak dikatakan terpaksa mengeluarkan kos tambahan hampir sekali ganda untuk membeli rumput atau jerami dan bekalan air kerana kemarau menjejaskan rumput ditanam penternak berkenaan.

Bagi Mohd Hanif Mat Hussin, 30, dia perlu mengeluarkan lebih RM2,000 sebulan bagi membeli rumput, jerami serta bekalan air untuk 14 lembu ternakannya.

Dia yang sudah hampir 15 tahun menternak berkata, cuaca kering menyebabkan rumput yang ditanam bersama empat penternak di kawasan seluas 1.2 hektar kering serta tidak mengeluarkan hasil.

"Ia menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk membeli rumput atau jerami dari Kedah dan secara purata, ia menelan kos hampir RM300 sebulan.

"Kemarau juga menyebabkan air perigi semakin kering menyebabkan kami perlu membeli bekalan air luar yang hanya diberi untuk minum sahaja dan tidak termasuk memandikan lembu.

"Perigi di rumah belum lagi kering sepenuhnya tetapi semakin tidak mampu menampung kegunaan kami sekeluarga, apatah lagi untuk ternakan," katanya ditemui di kandangnya di Kampung Kubang Edang, Peringat, di sini.

Mohd Hanif berkata, kos pembelian dedak juga meningkat kerana pemberian rumput atau jerami sudah dikurangkan dan penternak juga perlu menjaga pemakanan lembu terutama bagi lembu yang sudah dipilih untuk dikorbankan pada Aidiladha ini.

Seorang lagi penternak, Mohd Adam Mohd Alami, 17, berkata, penternak juga berdepan dengan risiko kematian lembu peliharaan kerana kekurangan air dan perkara itu membimbangkan mereka.

Katanya, dulu, ada kalanya lembu akan dimandikan untuk menjaga kebersihan selain menyejukkan tubuh tetapi kini bekalan air terpaksa dicatu.

"Ketika ini, air hanya digunakan untuk minuman lembu sahaja dan untuk memandikan mereka sudah tidak mampu kerana majoriti kami yang tinggal di sini menggunakan air dari perigi sendiri, bukannya air kerajaan (Air Kelantan Sdn Bhd).

"Cuaca panas terik berterusan selain tidak mandi boleh menyebabkan lembu lemah akibat kelesuan haba selain berisiko mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 12:40 PM