ANGGOTA BBP Kuala Terengganu menjalankan operasi membasahkan kerbau yang dikuarantin kerana penyakit hawar berdarah (HS) kali kedua. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ANGGOTA BBP Kuala Terengganu menjalankan operasi membasahkan kerbau yang dikuarantin kerana penyakit hawar berdarah (HS) kali kedua. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu membantu membasahkan 53 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikuarantin susulan penyakit hawar berdarah (HS) setiap dua hari sekali sehingga 30 September ini.

Anggota terbabit menjalankan operasi membasahkan kerbau milik keluarga Muhammad Syukur atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' itu seawal 10 hingga 11 pagi menggunakan 3,600 liter air bagi setiap sesi.

Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya terpanggil untuk meneruskan bantuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu apabila mengenangkan kesulitan penternak untuk membasahkan haiwan dikuarantin itu.

"Berikutan cuaca panas sekarang, semua kerbau dikuarantin itu perlu dibasahkan bagi mengelakkan ia mengalami tekanan.

"Hal itu menyebabkan penternak termasuk Muhammad Syukur terpaksa membasahkan ternakan menggunakan pam air dan menyebabkan mereka terbeban.

"Oleh itu, kami harap bantuan diberikan BBP Kuala Terengganu akan meringankan beban dan tugasan mereka di kandang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi membasahkan kerbau itu kali kedua membabitkan lima anggota pada hari ini.

Menurutnya, operasi membasahkan kerbau itu dapat dijalankan dengan lancar dan ternakan dilihat segar sebaik dimandikan dengan air.

Katanya, bantuan itu akan diteruskan sehingga akhir September ini dan jika perlu ia akan diteruskan pada Oktober.

Sementara itu, Muhammad Syukur berkata, dia berterima kasih kepada BBP Kuala Terengganu kerana membantunya dan keluarga membasahkan kerbau yang dikuarantin itu.

Katanya, jika BBP Kuala Terengganu tidak membantu, dia dan adik beradik lain akan membasahkan semua kerbau itu setiap dua jam sekali menggunakan pam air digalas dan ia sangat memenatkan.

"Saya berharap baki kerbau dimilikinya itu berjaya diselamatkan dan pulih sepenuhnya daripada penyakit HS.

"Saya tidak sanggup lagi melihat kerbau mati kerana penyakit itu, jadi amat berharap wabak HS berjaya dikawal daripada terus merebak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:21 PM