MOHD Shukri memandikan kambing baka Jamnapari miliknya yang dipanggil Abam J di Kampung Durian Guling, Marang.
MOHD Shukri memandikan kambing baka Jamnapari miliknya yang dipanggil Abam J di Kampung Durian Guling, Marang.
Ahmad Rabiul Zulkifli


MARANG: Lazimnya kambing sinonim dengan tabiat takutkan air, namun tidak pada kambing baka Jamnapari milik pemuda di Kampung Durian Guling di sini, yang gemar dimandikan setiap hari.

Kambing baka seberat 50 kilogram dipanggil Abam J itu dibeli daripada penternak dari Sepang, Selangor ketika berusia empat bulan dengan harga RM1,800.

Menurut Mohd Shukri Saat, 31, dia membela kambing kesayangannya itu lebih setahun lalu dan menjadi pembaka utama di kandangnya.

“Uniknya Abam J berbanding kambing lain kerana Abam J suka mandi dan jika tidak dimandikan, Abam J gelisah dan mengembek sepanjang masa.

“Abam J tidak pedulikan cuaca panas atau hujan, Abam J tetap ingin dimandikan terutama pada waktu tengah hari,” katanya ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Durian Guling di sini, semalam.

Katanya, memandangkan Abam J ialah kambing baka dan sering dibawa ke pertandingan kambing cantik, kambing itu perlu sentiasa kelihatan bersih dengan bulu yang terurus dan bersinar.

“Sebelum ini, saya pernah mengajar kambing baka lain mandi tetapi ia tidak seperti Abam J yang seakan ketagih dan terlalu suka dimandikan.

“Biasanya Abam J turut disabunkan, namun saya mengehadkan penggunaan sabun bagi memastikan bulunya tidak rosak atau gugur,” katanya.

Mohd Shukri berkata, keunikan itu menyebabkan Abam J sering menjadi perhatian, sekali gus menarik ramai penternak kambing ke kandangnya untuk melihat sendiri kambing bakanya itu.

“Pernah juga rakan penternak menyuarakan hasrat untuk membeli Abam J dan menawarkan harga yang tinggi tetapi saya belum berhasrat menjualnya,” katanya.

Sementara itu, Raduan Omar, 34, dari Kampung Gong Tok Nasek berkata, dia berasa pelik apabila melihat kambing dimandikan.

“Lazimnya kambing takutkan air, jauh sekali boleh dimandikan seperti itu, memang pelik apabila melihat Abam J dimandikan pemiliknya tanpa masalah,” katanya.

“Memandangkan kambing ialah haiwan yang takutkan air sehingga wujud istilah busuk tidak mandi seperti kambing yang kerap digunakan masyarakat umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 6:00 AM