PENDUDUK mengadu lampu menggunakan kuasa solar di Jalan Kajang-Dengkil tidak berfungsi sejak sekian lama.
PENDUDUK mengadu lampu menggunakan kuasa solar di Jalan Kajang-Dengkil tidak berfungsi sejak sekian lama.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Ada tiang, tetapi lampu tidak berfungsi malah ada juga mengeluarkan cahaya namun tidak terlalu terang dan malap.

Itu antara masalah dihadapi penduduk Kampung Jenderam Hilir di sini, apabila ada beberapa lampu menggunakan kuasa solar tidak berfungsi seperti biasa.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, lampu solar berkenaan terletak di simpang tiga atau empat selain laluan untuk membuat pusingan U di sepanjang Jalan Kajang-Dengkil di sini.

Selain itu, di sekeliling jalan utama berkenaan dipenuhi kawasan hutan dan ladang kelapa sawit menambahkan lagi kebimbangan penduduk menggunakan laluan itu pada waktu malam.

Seorang penduduk mahu dikenali sebagai Ismail, 40, berkata, masalah lampu solar tidak berfungsi itu sudah berlaku sejak sekian lama dan penduduk pernah melaporkan perkara itu kepada pihak berkenaan.

“Pada masa sama, ada lampu solar bercahaya warna putih itu sudah ditukar kepada lampu lain yang biasa digunakan di jalan raya lain.

“Bagaimanapun, tidak semua ditukar dan masih ada yang menggunakan lampu solar serta tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Ismail berkata, kejadian kemalangan maut pernah berlaku membabitkan seorang remaja menunggang motosikal yang mahu membuat pusingan U di simpang yang menggunakan lampu solar.

“Remaja terbabit dilanggar kereta serta meninggal dunia dan sebab itu, kita mahu lampu solar ini diperbaiki.

“Kita tidak mahu kejadian seperti ini berlaku lagi di kawasan kampung ini,” katanya.

Kakitangan swasta, Mohamed Kamarul Zaman Abu Bakar, 30, berkata, walaupun bukan penduduk di Kampung Jenderam Hilir, dia sering menggunakan laluan di Jalan Kajang-Dengkil dan mendapati lampu solar berkenaan tidak berfungsi.

“Memang agak gelap pada waktu malam ketika melalui jalan di sini dan ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna lalu lintas.

“Saya berharap tindakan boleh diambil bagi memperbaiki lampu solar di sini untuk kegunaan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:11 AM