SHAHRUM (dua kanan) dan Ketua Kampung Semarang, Dengkil, Maajis Kasan (kanan) melawat jalan simpang empat Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
SHAHRUM (dua kanan) dan Ketua Kampung Semarang, Dengkil, Maajis Kasan (kanan) melawat jalan simpang empat Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
Siti A'isyah Sukaimi


Dengkil: Kerajaan meluluskan pembinaan jejambat di simpang empat Kampung Semarang, Dengkil yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019 dengan anggaran kos hampir RM100 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berkata, kesesakan lalu lintas di simpang berkenaan berlaku sejak sekian lama terutama apabila penambahan kawasan perumahan penduduk di sekitar sini termasuk Putrajaya dan Cyberjaya selain faktor limpahan ekonomi.

"Saya difahamkan pada masa ini ia dalam proses penyediaan dokumen tender bagi menzahirkan pembinaan jejambat berkenaan.

"Sekitar September ini, tinjauan tanah di kawasan berkenaan akan dilakukan manakala, kerja fizikal dijangka bermula pada April tahun depan," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, jejambat yang bakal dibina membabitkan empat lorong dengan jarak hingga dua kilometer dan turut disertakan susur keluar ke Pekan Dengkil dan Kampung Jenderam memandangkan ia menjadi laluan utama penduduk di situ.

Laluan di simpang empat Kampung Semarang, Dengkil dibina lebih 30 tahun lalu dan ia menjadi laluan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Bandar Baru Salak Tinggi selain Pekan Dengkil dan Banting serta Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 1:29 PM