JALAN dari Jenderam Hilir ke Dengkil mengalami beberapa kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.
JALAN dari Jenderam Hilir ke Dengkil mengalami beberapa kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.
KEADAAN jalan yang tidak rata dan mendap menyukarkan pemandu mengawal kenderaan.
KEADAAN jalan yang tidak rata dan mendap menyukarkan pemandu mengawal kenderaan.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Pandu kereta macam naik bot. Itu yang dapat digambarkan ketika pengguna menggunakan jalan raya dari Kampung Jenderam Hilir menghala ke Pekan Dengkil di sini yang beralun dan tidak rata.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, keadaan jalan raya itu menyebabkan ketidakselesaan pengguna ketika memandu kenderaan atau menunggang motosikal, malah boleh mengundang kemalangan jika tidak berhati-hati.

Bukan itu saja, pemerhatian di sekitar laluan berkenaan mendapati terdapat juga batu kelikir, pasir atau tanah mungkin terjatuh daripada lori di atas jalan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jenderam Hilir, Zulkifli Abdul Wahab mendakwa, kerosakan jalan itu berlaku sejak sekian lama dan belum ada tindakan daripada pihak yang berkenaan untuk melakukan penambahbaikan di laluan itu.

“Orang awam terutama penduduk yang sering menggunakan jalan itu berasa tidak selesa apabila terdapat permukaan jalan beralun menyebabkan kenderaan seperti ‘melompat’ ketika melalui laluan itu.

“Malah, ada juga bahagian jalan yang mendap sekali gus menimbulkan kebimbangan untuk menggunakan laluan berkenaan,” katanya.

Zulkifli mendakwa, terdapat juga tanah dibawa lori yang jatuh di atas jalan sekali gus mengganggu pengguna kenderaan ringan ketika menggunakan laluan itu.

“Tanah merah jatuh daripada lori mengganggu pengguna lalu lintas lain. Saya berharap pihak berwajib perlu mengambil tindakan terhadap perkara ini,” katanya.

Penduduk, Siti Zubaidah Othman, 30, berkata, dia sering menggunakan laluan berkenaan untuk pulang ke rumah dan serik dengan keadaan jalan yang rosak.

Katanya, dia juga tidak menolak kemungkinan kenderaan berat yang sering menggunakan jalan itu menyebabkan berlaku kerosakan.

“Saya berharap pihak berwajib dapat melakukan penambahbaikan terutama pada jalan yang rosak untuk keselesaan pengguna khususnya penduduk kampung.

“Laluan ini adalah jalan utama penduduk untuk ke tempat kerja seperti Dengkil, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saya berharap ada tindakan boleh dibuat terhadap jalan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 8:18 AM