ANGGOTA polis menahan seorang lelaki yangmembawa  tiub straw mengandungi syabu di Jalan Jelutong, Mentakab.
ANGGOTA polis menahan seorang lelaki yangmembawa tiub straw mengandungi syabu di Jalan Jelutong, Mentakab.

Temerloh: Taktik seorang pengedar dadah melekatkan plastik dan tiub straw mengandungi syabu di bahagian dalam lengan kanan baju dipakainya tidak menjadi apabila dia ditahan polis di Jalan Jelutong, Mentakab, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari, suspek berusia 31 tahun itu juga didapati menyembunyikan kotak besi kecil di bahagian dalam lengan kiri baju sama yang mengandungi syabu, heroin serta pil Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika kejadian, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh terserempak dengan suspek yang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, polis kemudian menahan kenderaan lelaki itu sebelum membuat pemeriksaan pada badan suspek.

“Pemeriksaan mendapati dia menyembunyikan sejumlah dadah dilekatkan di bahagian dalam lengan kanan dan kiri baju yang dipakainya.

“Polis kemudian melakukan pemeriksaan lanjut dalam kereta itu sebelum menemui satu uncang kain yang disorok di bawah papan pemuka di tempat duduk penumpang hadapan.

“Ia didapati mengandungi paket plastik disyaki dadah jenis heroin, syabu dan pil eramin 5.

“Jumlah keseluruhan dadah yang ditemui ialah syabu seberat 4.94 gram (g), heroin 7.68 g dan 15 pil eramin 5,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, polis kemudian merampas dadah berkenaan bersama-sama kereta lelaki itu serta membawa suspek ke IPD Temerloh untuk pemeriksaan susulan.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 8:24 AM