AHMAD Razif  bersama  bergambar bersama penerima Anugerah Khas dan ibunya  (berkerusi roda)  yang cacat penglihatan.
AHMAD Razif bersama bergambar bersama penerima Anugerah Khas dan ibunya (berkerusi roda) yang cacat penglihatan.
TIGA murid bersama replika SSPN-i.
TIGA murid bersama replika SSPN-i.
AHMAD Razif  (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima SSPN-i.
AHMAD Razif (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima SSPN-i.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Aslina Abu Bakar

Kuala Nerus: Kecemerlangan murid negeri ini dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dan 2015 terus diberi penghargaan kerajaan negeri apabila menghadiahkan insentif berupa Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM500.

Malah, Terengganu sekali lagi menjadi negeri perintis dalam bidang pendidikan apabila menghadiahkan SSPN-i yang juga satu inisiatif bijak dan tepat sebagai penghargaan kepada murid cemerlang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, insentif yang bermula pada tahun ini dapat memupuk budaya menabung untuk kepentingan kesinambungan pendidikan mereka pada masa depan.

Menurutnya, SSPN-i yang disalurkan menerusi Yayasan Terengganu (YT) dilihat insentif terbaik yang akan memanfaatkan murid berkenaan pada masa depan terutama ketika mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Kita berharap langkah memberikan insentif SSPN-i bernilai RM500 kepada setiap murid cemerlang UPSR ini adalah sebagai permulaan untuk mereka menyediakan tabungan pendidikan pada masa depan.

“Apa diharapkan, tabungan ini akan bertambah. Ini adalah sebahagian usaha kita memupuk budaya menabung untuk kemudahan pendidikan mereka pada masa akan datang terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Hal ini kerana kita tahu kebanyakan kaum Melayu belum dapat menerima budaya bukan Melayu yang menabung untuk pendidikan anak mereka sejak kecil dan apa yang dilakukan ini adalah pendekatan baru sebagai penghargaan selain menyediakan jaminan kewangan untuk mereka melangkah ke pengajian tinggi pada masa depan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Emas, Anugerah Khas dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Kali ke-36 kepada Pelajar Cemerlang Dalam Peperiksaan Awam 2014 dan Pemberian SSPN-i (UPSR) Bagi Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 1,341 murid dari empat kawasan Parlimen itu yang memperoleh 5A dalam UPSR 2014 menerima SSPN-i bernilai RM500.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib, Pengarah YT Mohamad Sulong serta Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Menurut Ahmad Razif, pemberian insentif SSPN-i itu bukan hanya memberi manfaat kepada murid, tetapi turut memberi impak positif pada ekonomi kerajaan negeri dan PTPTN sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 6:17 AM