AHMAD Dasuki (dua dari kiri) bersama Zeen Watak (tiga dari kiri) dan Mastura (kanan) meraikan lima ibu dan bayi mereka yang menjadi penerima terawal insentif tabungan SSPN-i menerusi Dana Didik Harapan Johor di Hospital Sultan Ismail. FOTO IHSAN PTPTN
AHMAD Dasuki (dua dari kiri) bersama Zeen Watak (tiga dari kiri) dan Mastura (kanan) meraikan lima ibu dan bayi mereka yang menjadi penerima terawal insentif tabungan SSPN-i menerusi Dana Didik Harapan Johor di Hospital Sultan Ismail. FOTO IHSAN PTPTN
Mohamed Farid Noh


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan negeri bekerjasama melaksanakan Dana Didik Harapan Johor menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Menerusi Dana Didik Harapan Johor, 1,000 bayi dalam kalangan keluarga B40 negeri ini layak menerima deposit RM100 dalam akaun SSPN-i seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2020, November lalu.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pemberian insentif penabungan SSPN-i itu adalah usaha terpuji kerajaan negeri dan perlu dicontohi kerajaan negeri lain.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bersama PTPTN, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor.

“Sebenarnya pemberian insentif penabungan SSPN-i oleh kerajaan negeri Johor sudah dimulakan sejak 2018 dengan 350 bayi menerima manfaat pembukaan akaun berkenaan namun dengan nilai RM50.

“Namun pada tahun ini, kerajaan negeri Johor menaikkan nilai tabungan SSPN-i kepada RM100 untuk 1,000 bayi dalam kalangan keluarga B40 negeri ini.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat Malaysia untuk menabung seawal kelahiran bagi tujuan pendidikan masa hadapan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dan meringankan beban graduan sebaik menamatkan pengajian, ” katanya pada sidang media di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Kanan YPJ Mohd Zeen Watak dan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Pada program Walkabout Dana Didik Harapan Johor itu, Ahmad Dasuki, Mohd Zeen dan Mastura turut meraikan lima ibu serta bayi mereka dengan pemberian hamper selain insentif penabungan SSPN-i bernilai RM100.

Ibu yang melahirkan bayi mulai 1 Januari tahun ini di negeri ini dengan pendapatan ibu dan bapa di bawah RM7,000 sebulan, layak mendapatkan borang permohonan di semua wad bersalin hospital kerajaan di Johor selain di kaunter PTPTN Johor, YPJ dan JPN Johor di semua cawangan.

Permohonan hendaklah dilengkapkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh bayi dilahirkan sebelum dihantar ke YPJ atau 20 cawangan JPN seluruh Johor.

Pemohon akan mendapat jawapan dalam masa 30 hari bekerja daripada tarikh permohonan yang lengkap diterima dan PTPTN akan memberikan resit pembukaan akaun SSPN-i bernilai RM100 kepada pemohon yang berjaya melalui pos.

Sementara itu, Haleeda Hamizan, 28, yang melahirkan anak ketiganya semalam, bersyukur kerana menjadi penerima terawal insentif tabungan SSPN-i menerusi Dana Didik Harapan Johor itu.

“Alhamdulillah, untuk anak sulung dan kedua, saya serta suami sudah bukakan akaun SSPN-i sebagai kemudahan mereka melanjutkan pendidikan apabila dewasa,” katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 5:09 PM