WAN Asron   bersama ahli keluarga pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan & Pelancaran Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN di PWTC.
WAN Asron bersama ahli keluarga pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan & Pelancaran Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN di PWTC.
Hamizah Badiran


Kuala Lumpur: Tahap kesedaran ibu bapa menabung untuk masa depan pendidikan anak semakin baik, tetapi ia masih boleh dipertingkatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada pinjaman yang ditawarkan kerajaan mahupun swasta.

Ringkasnya, kita perlu cari jalan dan ikhtiar untuk berdikari dan menampung sendiri keperluan masa depan pendidikan anak-anak.

Faktor kos sara hidup dan pendidikan yang semakin tinggi menambah kegusaran serta membebankan jika tidak menyediakan tabungan dari sekarang.

Syahrul Affandi Saidi, 37, antara bapa yang bertuah kerana mempunyai kesedaran sejak dari awal untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) untuk anaknya, Nawal Sofia yang berumur setahun lapan bulan selepas melihat manfaat skim itu di media sosial.

Menurutnya, produk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu satu produk simpanan yang mempunyai elemen tabungan dan pada masa sama mempunyai perlindungan takaful.

“SSPN-i Plus ini amat istimewa dan tidak dapat diperoleh daripada skim simpanan lain.

“Antara keistimewaannya yang membuat saya tertarik ialah ia patuh syariah, mempunyai pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000, terdapat perlindungan takaful, dividen kompetitif dan simpanan dijamin kerajaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, kelmarin.

Tambah Syahrul Affandi, dia menyarankan semua orang terutama ibu bapa membuka akaun SSPN-i Plus kerana ia instrumen simpanan terbaik buat masa ini.

Turut bersetuju dengan pandangan Syahrul Affandi ialah Nur Iszuani Ishak, 30, yang membuka akaun SSPN-i Plus selepas mendengar penerangan terperinci daripada kakitangan PTPTN ketika pameran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada September tahun lalu.

“Saya melihat SSPN-i Plus adalah satu kaedah yang baik untuk ibu bapa membuat simpanan pada awal usia anak.

“Adanya takaful, ia membantu aspek kewangan sekiranya berlaku musibah yang tidak diingini seperti kematian atau hilang upaya kekal,” katanya yang memperuntukkan RM100 sebulan untuk tabungan masa depan anak tercinta, Nur Shaza Aisyah Shairazi, setahun dua bulan.

Bagi Wan Asron Wan Jusoh, 42, pula, dia dan isteri, Juliana Mohammad, 40, tertarik dengan produk PTPTN itu kerana menggabungkan simpanan pendidikan dan pakej perlindungan takaful.

“Saya pilih pakej Intan RM30 sebulan untuk setiap lima anak saya bagi simpanan SSPN-i Plus. Selain simpanan, dividennya juga kompetitif serta mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan,” katanya.

PTPTN menetapkan 2017 sebagai Tahun Penabungan bagi menggalakkan orang ramai membudayakan amalan itu, tanpa bergantung kepada pinjaman. Kerajaan juga amat serius menggalakkan orang ramai mengamalkan budaya menabung.

Usaha murni PTPTN dalam membangunkan SSPN-i Plus, produk simpanan bersadur perlindungan diharap membuka mata ramai ibu bapa bijak untuk menabung dalam produk yang 100 peratus patuh syariah ini. Apa tidaknya, apabila menyimpan dalam SSPN-i Plus, mereka mendapat perlindungan dan manfaat takaful.

Secara kesimpulannya, SSPN-i Plus mampu membantu ibu bapa merealisasikan harapan, cita-cita dan masa depan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 7:41 AM