Kuala Lumpur: Sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap kad prabayar ketika ini kekal atau dimansuhkan terus menjadi persoalan.

Ini berikutan, belum ada pengumuman rasmi oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenainya, sedangkan, pada Mei lalu, kerajaan mengumumkan pembelian kad prabayar tidak akan dikenakan GST selepas enam bulan.

Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat pengumuman rasmi mengenainya supaya tidak timbul kekeliruan kepada pengguna.

Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA Mohd Yusof Abd Rahman berkata, perkara dibimbangi pengguna adalah caj dikenakan akan membebankan mereka.

Katanya, seperti diumumkan kementerian sebelum ini, kerajaan bersetuju GST ke atas perkhidmatan prabayar telefon dikenakan berdasarkan penggunaan.

“Kita bimbang kemungkinan pengguna terbeban kerana kena bayar GST ikut penggunaan. Tambahan pula, caj antara syarikat telekomunikasi adalah berbeza.

“Justeru, FOMCA meminta kerajaan umumkan segera status perbincangan antara kementerian dan agensi berkaitan dengan syarikat telekomunikasi supaya pengguna jelas mengenai GST ke atas kad prabayar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 9:01 AM