Penjual alat telekomunikasi, Abdul Jaber Ibrahim Shah, 43, menyusun kad prabayar serta mempamerkan notis pemberitahuan rebat GST di kedainya di Jalan Dato Keramat, Pulau Pinang, hari ini.   - Foto BERNAMA
Penjual alat telekomunikasi, Abdul Jaber Ibrahim Shah, 43, menyusun kad prabayar serta mempamerkan notis pemberitahuan rebat GST di kedainya di Jalan Dato Keramat, Pulau Pinang, hari ini. - Foto BERNAMA

Hulu Terengganu: Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal melaksanakan rebat GST kepada pengguna perkhidmatan prabayar telefon mudah alih bermula hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata syarikat telekomunikasi yang didapati ingkar arahan itu dan gagal mematuhi Panduan Peraturan Berhubung Pendaftaran Pengguna Akhir bagi Perkhidmatan Selular Awam Prabayar juga akan dikenakan tindakan.

"Bermula hari ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mula membuat pemantauan pelaksanaan rebat prabayar.

"Pengguna warganegara akan membayar RM10 untuk kad prabayar dan bila diaktifkan, mereka akan dapat kredit RM9.43 airtime, kemudian 57 sen akan dikreditkan dalam masa 24 jam... ini janji kerajaan dan saya sendiri akan pantau, lihat perkara ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada 70 mangsa banjir di Hulu Terengganu di sini, hari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 6:56 PM