REAKSI calon yang memenangi kerusi pada sesi pengumuman di Dewan Putra 1, UPM.
REAKSI calon yang memenangi kerusi pada sesi pengumuman di Dewan Putra 1, UPM.
PELAJAR UPM membuang undi di UPM Serdang.
PELAJAR UPM membuang undi di UPM Serdang.
Oleh Siti Farahiyah Aziz

Serdang: Kumpulan proaspirasi yang dikenali sebagai Mahasiswa Putra (MP) menang majoriti kerusi yang dipertandingkan pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan 33 kerusi daripada 45 kerusi Pilihanraya Kampus bagi sesi 2015/2016.

Calon yang mendapat undian tertinggi 5,572 Mohammad Aizat Abdul Wahit, 21 berkata, kemenangannya di luar jangkaan kerana dia perlu bersaing dengan lebih ramai calon lain dari kategori Umum dan Fakulti.

“Untuk memastikan saya mampu bersaing dengan calon lain, saya mendekatkan diri dengan pelajar lain melalui pengagihan risalah yang mempunyai manifesto diperjuangkan secara terus supaya pengundi lebih mengenali dan memahami perkara yang saya perjuangkan.

“Antara manifesto yang saya perjuangkan adalah menganjurkan program yang dapat membantu pembangunan mahasiswa dan sifat kendiri serta mewujudkan sistem merit berkomputer,” katanya ketika ditemui di Dewan Kolej 13, UPM di sini, selepas pengumuman keputusan pengundian itu semalam.

Proses pengundian di UPM berjalan lancar membabitkan 24,000 pelajar memilih 45 ahli MPP bagi sesi 2015/2016.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP 2015 Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sesi pembuangan undi membabitkan enam lokasi iaitu lima lokasi di Kampus UPM di Serdang dan satu di Bintulu bermula 9 pagi hingga 4 petang dengan menggunakan sistem e-undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 7:30 AM